‘Turun Ke Laut’ – Tiada Liputan Rangkaian Punca Shahrul Nizam Tidak Tahu Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan

Shahrul Nizam Harimau Malaya

Persoalan mengenai kegagalan Shahrul Nizam Ros Hani melaporkan diri untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab selepas beliau dilaporkan tidak mengetahui berita tersebut kerana berada di laut.

Ia dimaklumkan oleh majikannya sendiri, Terengganu FC yang telah pun menghubungi pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.

Menurut laporan Bernama, pengurus Terengganu, Zulfadli Rozi hanya sempat membuat panggilan telefon kurang 12 jam sebelum pasukan negara berlepas ke Jordan pada jam 3.15 pagi tadi.

“Sepanjang saya menjadi pengurus tak pernah berlaku lagi pemain tidak datang untuk panggilan skuad kebangsaan. Tetapi saya dihubungi pengurus TFC sebenarnya pemain ini dia ke laut,” ujar Yusoff.

“Jadi, bila dia [Muhamad Shahrul Nizam] di sana memang tak dapat dihubungi, petang [semalam] baru dia mendarat dan dia juga terkejut.”

Sebelum ini ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe telah pun mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu tidak dibawa bersama ke Jordan selepas tidak dapat dikesan dan tidak melaporkan diri tanpa memberikan sebab.

Shahrul Nizam dipanggil pada saat-saat akhir bagi menggantikan Dion Cools yang disahkan tidak dapat menyertai skuad negara kerana mengalami kecederaan.

Dion Cools Cedera, Cheng Hoe Panggil Ariff Farhan, Fayadh Zulkifli & Shahrul Nizam

Sebelum ini timbul pelbagai desas-desus mengenai punca pemain tersebut gagal melaporkan diri ke Wisma FAM termasuklah ‘tuduhan nakal’ yang mendakwa ia disebabkan teman wanitanya yang tidak membenarkan beliau ke luar negara.

Namun dengan pengesahan yang telah dibuat oleh pasukannya ini, harap tiada lagi sebarang spekulasi mahupun tuduhan yang mengatakan pemain tersebut ‘tiada jiwa’ mahu berkhidmat untuk negara serta bermain demi lencana di dada.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply