Tuah 1, ‘Maskot Hidup’ Yang Skuad Olimpik 1972 Bawa Ke Jerman Barat

Harimau Malaya Tuah 1 Olimpik 1972

Ketika Sukan Olimpik 1972, skuad kebangsaan telah membawa bersama seekor anak Harimau Malaya terbang ke Munich sebagai maskot dan juga azimat buat mereka.

Anak Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni itu merupakan milik Zoo Negara dan telah diberikan nama ‘Tuah 1’. Ianya telah dibawa menemani skuad kebangsaan sepanjang melalui kempen Sukan Olimpik dan saingan di sana.

Tuah 1 dipilih sebagai maskot untuk skuad negara ketika itu dek kerana gelaran Malaysia iaitu Harimau Malaya, selain sinonim dengan logo Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta sejarah bola sepak Malaysia itu sendiri.

Maskot ini menjadi kebanggaan rakyat dan kerajaan Malaysia serta diharapkan dapat mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman Barat ketika itu.

Disamping itu, Tuah 1 juga diharap akan mampu memupuk semangat kesukanan di Sukan Olimpik Munich. Setelah tamatnya kejohanan sukan antarabangsa itu, ianya telah diserahkan kepada Zoo Munich sebagai hadiah dan juga tanda persahabatan.

Keratan akhbar tahun 1972. FOTO: Legasi Lagenda

Ada yang kata namanya Tuah 1 dan ada juga menyatakan anak Harimau Malaya itu dinamakan Tuah II, namun berdasarkan keratan akhbar pada tahun tersebut, jelas tertulis namanya, Tuah 1. Tidak dapat dipastikan mengapa terdapat dua versi nama.

Bayangkan jika skuad bola sepak negara ketika ini membawa bersama anak Harimau Malaya sekiranya terlibat dalam kejohanan besar? Sukar untuk dibayangkan.

Walaubagaimanapun, Tauh 1 ketika itu gagal membantu sepenuhnya cabaran skuad negara di Sukan Olimpik. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan 1 bersama tuan rumah iaitu Jerman Barat, Maghribi dan USA, dengan Malaysia hanya menang sekali.

Skuad kebangsaan memulakan cabaran dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada Jerman Barat walaupun telah cuba memberikan tentangan sengit. Tuan rumah hanya berjaya meledak gol ketiga-tiga gol pada babak kedua perlawanan.

Malaysia menentang Jerman Barat. FOTO: Bazookapenaka

Perlawanan kedua, Malaysia berjaya mengejutkan USA dengan kemenangan 3-0 hasil jaringan Abdullah Shaharudin pada minit ke-14, Ibrahim Salleh (67′) dan Wan Zawawi (77′). Ianya kembali meningkatkan semangat Harimau Malaya untuk bangkit.

Namun, sebaliknya berlaku, Malaysia tumpas 0-6 kepada Maghribi dengan lawan berhasil meledak empat gol di babak pertama. Skuad kendalian Jalil Che Din menamatkan saingan di kedudukan ketiga hasil satu kemenangan tersebut.

Satu kisah yang sangat menarik kerana skuad ini sangat cemerlang di pusingan kelayakan apabila meledak 12 gol tanpa sebarang bolos. Mungkin atas sebab itulah, Tuah 1 telah dibenarkan untuk dibawa bersama ke Jerman Barat ketika itu.

Di mana Tuah 1 ketika ini? Adakah ia masih berada di Zoo Munich? Sekiranya para pembaca mempunyai maklumat, bolehlah berkongsi di ruangan komen.

KREDIT FEATURED IMAGE: TWITTER TEAM MALAYSIA FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram