Totti Takkan Jejak Pusat Latihan Roma Selagi Pallotta Masih Presiden

Kerjasama Semuanya BOLA

Francesco Totti

Perseteruan di antara Francesco Totti dan James Pallotta telah memasuki episod baharu apabila legenda AS Roma itu membuat kenyataan yang beliau tidak akan sesekali menjejakkan kaki ke pusat latihan selagi presiden kelab itu tidak melepaskan jawatan.

Totti telah bersara pada Mei 2017 pada usia 40 tahun selepas membuat 786 penampilan untuk Roma dan  menjaringkan 307 gol. Beliau kemudian diberi peranan sebagai pengarah di Stadio Olimpico.

Bagaimanapun, bekas pemenang Piala Dunia itu akhirnya menamatkan kerjasama selama 30 tahun bersama The Giallorossi dalam keadaan yang tidak ‘manis’ pada Jun tahun lepas.

Totti secara terbuka mengkritik Pallotta kerana sering mengetepikan pandangannya dalam membuat keputusan penting untuk kelab dan perseteruannya telah berterusan sehingga kini.

Totti menjelaskan, beliau hanya akan kembali bersama Roma jika kelab itu di bawah pengurusan yang berbeza sekalipun pendiriannya itu menyebabkan beliau tidak dapat menonton anaknya, Cristian Totti yang kini beraksi untuk skuad bawah 15 tahun (B-15) Roma.

“Begini, selagi situasinya adalah begini [Pallotta masih presiden], saya tidak akan menjejakkan kaki di Trigoria,” kata Totti dalam siaran langsung Instagram bersama Luca Toni.

“Setiap kali saya menurunkan Cristian untuk menjalani latihan, saya akan tunggu di luar pagar saahaja. Kadang kala semasa saya sedang duduk menunggu di dalam kereta, saya sebak memikirkan selepas 30 tahun, saya tidak boleh menjejakkan kaki di sana sekarang.

“Saya masih ada ramai rakan-rakan dan kenalan yang datang ke luar dan menyapa saya serta bertanya khabar. Tetapi sekarang, walaupun anak saya telah berkali-kali mendesak saya untuk melihatnya beraksi, saya tak akan masuk,” ujar Totti.

Totti kemudian mendedahkan beliau sebenarnya telah dipaksa untuk menggantung but lebih awal daripada apa yang beliau mahukan kerana Roma telah melanggar janji dan membuat keputusan tanpa persetujuannya.

“Kenapa saya harus berhenti bermain? Dari segi fizikal saya masih bagus, jadi kenapa saya harus bersara? Bukannya saya mahu bermain semua perlawanan atau memaksa sesiapa untuk berikan saya bermain,” katanya lagi.

“Saya tidak mahu merosakkan rekod saya di Roma, jadi saya rasa mungkin lebih baik untuk saya bersara daripada terpaksa berpindah ke kelab lain.

Saya bukannya bodoh, walaupun saya bukan budak berumur 10 tahun, tetapi dari segi fizikal dan mental, saya boleh rasakan semasa sesi latihan yang masih banyak benda yang saya mampu sumbangkan untuk kelab.

“Saya gembira masih mempunyai pengaruh dan peranan yang penting dalam bilik persalinan, dapat membantu jurulatih ketika berdepaan tempoh sukar dan dapat membimbing pemain-pemain muda untuk berkongsi pengalaman yang saya ada.

“Setiap kali saya masuk ke padang dari bangku simpanan, keadaaan di stadium akan bertambah meriah dan suasana tersebut telah membantu menaikkan semangat semua pemain.

“Tetapi [persaraan] saya telah mengakhiri segalanya. Saya bukan bodoh, tetapi masalahnya ada orang yang telah ‘memaksa’ saya untuk membuat keputusan tersebut dan kemudian secara halus menyisihkan saya.

“Tentulah saya sedih, kerana selama ini saya sanggup berkorban apa sahaja untuk Roma.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Francesco Totti dan AS Roma:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram