Tomas Trucha: Kalau Cukup 11 Pemain, Kami Mungkin Boleh Menang

Ryuji Utomo Faiz Nasir Penang Terengganu tomas trucha 11 pemain

Pengendali Penang FC, Tomas Trucha berkata yang inilah kekuatan sebenar skuad kendaliannya musim ini walaupun tidak bermain dengan 11 pemain hampir 80 minit, mereka mampu bangkit meledak dua gol.

Penang FC akhirnya diikat 2-2 menentang Terengganu FC setelah beraksi dengan 10 pemain selepas bek tengah, Latiff Suhaimi dilayangkan kad merah pada minit ke-12 kerana menjatuhkan David da Silva.

Walaupun skuad Tomas Trucha tanpa 11 pemain, Terengganu dilihat tidak memanfaatkan peluang tersebut.

Mereka terlebih dahulu ketinggalan sebelum bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit sebelum babak pertama berakhir. Sepakan penalti yang diperolehi lawan akibat kekasaran Latiff Suhaimi gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh David da Silva apabila sepakannya berjaya diselamatkan Sam Somerville.

Terengganu menebusnya dengan jaringan pembukaan di minit ke-25 untuk mendahului perlawanan apabila kapten, Argzim Redzovid berhasil untuk menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil oleh Lee Tuck.

Walaupun kehilangan Latiff Suhaimi, penggantinya, Ryuji Utomo berjaya menampung kehilangan tersebut, namun mereka kekurangan pemain di jentera tengah apabila terpaksa mengeluarkan David Rowley untuknya.

Lima minit menuju penamat babak pertama, dua penyerang import, Sheriddin Boboev dan Casagrande berjaya membantu Penang FC bangkit serta mendahului perlawanan sehingga berakhirnya babak pertama.

Minit ke-40, bermula dengan hantaran jauh ditanduk oleh Casagrande ke depan gawang dan disambut dengan rembatan deras Sheriddin Boboev untuk jaringan penyamaan sebelum Casagrande muncul dengan jaringan tandukkan di penghujung babak pertama menerusi sepakan percuma Endrick dos Santos.

Bercakap di sidang meda, Tomas Trucha berkata, “Hari ini anda dapat lihat kekuatan para pemain. Bermain 80 minit kurang seorang pemain, ketinggalan satu gol, menafikan penalti lawan dan menjaringkan dua gol.”

“Bagi saya, jika lawan tidak kuat, kami mampu meledak lagi dua gol. Jadi, tahniah kepada mereka,” ujarnya.

Terengganu bernasib baik apabila Lee Tuck muncul penyelamat di minit ke-80 apabila berhasil melakukan kuisan menarik hasil hantaran lintang rendah oleh Hafizal Alias untuk menewaskan Sam Somerville.

“Mungkin ada pemain yang tidak suka apabila saya terlalu menekan mereka kerana bagi mereka segalanya tampak okay. Tetapi bagi saya banyak lagi yang perlu kita perbaiki. Namun, kita berada di ‘top 3’ ketika ini, jadi ayuh kita raikannya,” tegas tomas Trucha sambil mengatakan skuad ini wajar dikekalkan musim depan.

“Saya gembira dengan Penang FC dan para penyokongnya. Minggu ini kita dapat saksikan sokongan luar biasa menerusi video sokongan yang mereka hantar,” ujar Tomas Trucha mengenai perasaanya.

“Saya telah tunjukkan kepada pemain sebelum perlawanan. Ia sangat mengujakan. Mereka tidak dapat turun ke stadium disebabkan COVID-19 dan ada antara mereka yang telah meninggal dunia,” tambahnya lagi.

Penang FC menamatkan musim pertama mereka kembali ke Liga Super di kedudukan ke-3 dengan 41 mata, dua mata di belakang Kedah Darul Aman FC yang akhirnya menamatkan pemburuan tiket ke Piala AFC 2022.

Untuk Terengganu, mereka bernasib baik apabila Selangor FC tewas kepada PJ City FC dalam satu lagi aksi menyaksikan The Red Giants gagal memintas kedudukan ke-4 milik mereka – dipisahkan hanya dua mata.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply