Tom Cleverley: Prospek Masa Hadapan England Yang Pernah Mendapat Petisyen Bantahan Penyokong

Sehingga ke hari ini, selepas seminggu pengurus England, Gareth Southgate mengumumkan senarai 23 pemain untuk ke Piala Dunia 2018, belum ada ‘bantahan keras’ senarai pilihannya.

Persoalan yang ada hanyalah mengenai status skuadnya yang merupakan ketiga termuda dalam Piala Dunia kali ini. ‘Muda’ dari segi umur dan juga penampilan antarabangsa.

Jumlah penampilan untuk keseluruhan skuad Southgate kali ini adalah 449 dengan purata 19.5 penampilan setiap pemain. Tagihnya ialah berikan mereka semua pemain ini kepercayaan.

Kalau pun ada hanyalah ‘sesi bawang’ antara para penyokong England di media sosial masing-masing. Reaksinya tetap pelbagai, cuma tidak berlaku seperti pada edisi 2014 yang lalu.

Apa yang telah berlaku ketika skuad pilihan Roy Hodgson diumumkan menjelang Piala Dunia 2014 yang lalu? Ia adalah kontroversi melibatkan seorang individu bernama Tom Cleverley.

Tom Cleverley – ‘The Next Paul Scholes’?

Masih ingatkah anda dengan bekas pemain tengah Manchester United, Tom Cleverley? Dia pernah dilabel bakal menjadi antara pemain tengah terbaik untuk England di masa hadapan.

Berhijrah dari Bradford City ke Manchester United pada usia 11 tahun, prestasi Cleverley meningkat dari hari ke hari dan seterusnya telah memenangi kejuaraan liga bersama Manchester United.

(Photo by Matthew Peters/Manchester United via Getty Images)

Selepas persaraan Paul Scholes dan penghijrahan Owen Hargreaves, ruang di jentera tengah tercari-cari pengganti yang sesuai dan Cleverley dicanang sebagai pengganti pilihan di Old Trafford.

“Kasut Scholes (yang ditinggalkan) sangat besar untuk diisi,” reaksi pertama Cleverley mengenai posisi Scholes seperti yang dilaporkan oleh Manchester Evening News pada Jun 2011.

(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Namun selepas beberapa perbincangan bersama pengurus, Sir Alex Ferguson, dia yakin dia akan mendapat tempat di Old Trafford walaupun hanya berusia 22 tahun pada ketika itu.

Langit tak selalunya cerah

Walaubagaimanapun, langit tak selalunya cerah. Dia kerap dirundung kecederaan yang memaksanya diketepikan walaupun cemerlang apabila diberikan peluang beraksi.

Disebabkan itu, dia gagal mendapat tempat dalam skuad utama dan Cleverley pernah berkata kepada Manchester Evening News, ia adalah musim yang sukar baginya walaupun bermula baik.

(Photo by Martin Rickett/PA Images via Getty Images)

Cleverley adalah salah satu ‘perkara baharu’ yang terindah buat Man United pada musim itu. Dalam tiga aksi awal yang menampilkan dirinya, United menang ketiga-tiga perlawanan itu.

Sehinggalah pada bulan September, dia telah tercedera akibat dikasari oleh pemain Bolton, Kevin Davies yang akhirnya menjadi rentetan kecederaan demi kecederaan buat dirinya selepas itu.

(Photo by Bryn Lennon/Getty Images)

“Ia adalah musim yang sia-sia. Tetapi apabila difikirkan kembali, saya berada di kelab terbesar di dunia dengan pengurus yang disifatkan terbaik. Ia tidaklah seburuk mana,” ujar Cleverley lagi.

Musim yang lebih buruk selepas era Sir Alex Ferguson

Pada musim 2012/13, dengan ketibaan pemain seperti Shinji Kagawa, Cleverley lebih kerap memanaskan bangku simpanan.

Selepas berakhir era Sir Alex, Cleverley semakin bergelut untuk mendapat tempat ketika di bawah kendalian David Moyes dan kemudiaannya Louis van Gaal.

(Photo by Shaun Botterill/Getty Images)

Cleverley turut menyatakan yang dirinya telah menjadi kambing hitam oleh para penyokong atas aksi hambar Red Devils pada musim 2013/14 ketika pasukan itu di bawah kendalian Moyes.

“Para penyokong menjadikan isu saya tidak menjaringkan banyak gol sebagai satu perkara yang besar sedangkan ia bukanlah tugas utama saya dalam pasukan,” jelas Cleverley kepada SkySports.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Moyes banyak memberikan peranan sebagai pemain tengah bertahan kepadanya walaupun para penyokong mahukan dia kembali ke peranan asalnya, pemain tengah menyerang.

Cleverley turut disenarai oleh sebuah artikel di Dreamteam FC, ‘The worst England players to get an international call-up‘ yang turut menampilkan Stewart Downing, Darius Vassell dan Wes Brown.

Petisyen singkir Cleverley sebelum Piala Dunia 2014

Waima bergelut dengan prestasi, Cleverley tetap tersenarai dalam senarai menunggu skuad England ke Piala Dunia 2014, tatkala pemain seperti Tom Huddlestone dan Adam Johnson langsung tersisih.

Perkara ini telah mengundang kontroversi dan kemarahan di kalangan para penyokong England sehingga mendorong mereka untuk mengadakan satu petisyen khas atas talian di change.org.

Petisyen buat Tom Cleverley.

‘Ban Tom Cleverley from the World Cup squad’ merupakan petisyen yang dimulakan oleh Glenn McConnell, yang menyatakan Cleverley tidak layak untuk beraksi bersama England.

Dalam masa 24 jam sahaja, petisyen tersebut telah berjaya mengumpul sehingga 4000 tandatangan. Ia telah ditutup selepas mencapai 19,625 tandatangan.

Moyes dan Hodgson kemudian tampil mempertahankan Cleverley. Bercakap kepada The Guardian, Moyes menyatakan Cleverley adalah pemain muda yang hebat.

(Photo by Rebecca Naden/PA Images via Getty Images)

“Dia adalah pemain yang hebat. Dia yang pertama keluar dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam latihan. Dia sentiasa beri yang terbaik dan disebabkan itu dia akan berjaya,” ujarnya.

Layak atau kerana akur dengan petisyen tersebut, Cleverley tidak berada di dalam skuad akhir England ke Brazil pada tahun tersebut.

Tom Cleverley kini

Selepas meninggalkan Manchester United, Cleverley menyertai beberapa pasukan iaitu Aston Villa dan Everton. Pada Januari 2017, beliau menyertai Watford secara pinjaman.

Dan pada Julai 2017, Watford akhirnya berjaya mendapat Cleverley secara tetap daripada Everton untuk kontrak selama lima tahun. Dan, menurut Cleverley,  dia kini sangat gembira kerana mampu membantu Watford.

(Photo by Plumb Images/Leicester City FC via Getty Images)

Dalam temuramahnya bersama Telegraph pada Ogos 2017, Cleverley turut menyatakan yang beliau tidak pernah menyesal meninggalkan kelab besar seperti Manchester United dan Everton.

Ini kerana, baginya, ada perbezaan antara menjadi pemain bola dan bermain bola. Bermain bola adalah yang sangat dimahukannya berbanding hanya bergelar pemain bola sepak.

Itulah yang dikejarnya sehingga akhirnya dia mendapat apa yang diinginya di Watford, aksi permainan yang lebih berbanding hanya menjadi pemanas bangku simpanan kelab.

Penutup

Apakah keutamaan anda sebagai pemain bola sepak profesional? Minit di atas padang, ataupun kelab besar dan popular tetapi sekadar bergelar pemain simpanan?

Apakah yang akan anda lakukan sekiranya setiap orang tidak punyai keyakinan terhadap anda seperti yang dihadapi Cleverley?

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN