Tolak Lamaran Beberapa Pasukan, Hadin Azman Nekad Pilih Kedah

Iklan

Hadin Azman Kedah FA 2019

Pemain baharu Kedah, Hadin Azman berazam mahu memenangi seberapa banyak piala yang boleh untuk dirinya dan pasukan menjelang saingan musim 2020 yang dijangka bermula pada Februari depan. Pada musim lalu, pemain yang beraksi di posisi sayap menyerang kiri ini adalah kapten FELDA United.

Mengakui cuba dilamar beberapa pasukan lain, pemain berusia 25 tahun ini telah nekad memilih untuk menyarung jersi Kedah sejak awal lagi kerana baginya Kedah adalah sebuah pasukan yang besar dan mampu untuk mengembalikannya ke prestasi sebenar.

Kerap tersisih daripada skuad kebangsaan dan bukan pilihan utama membuatkan pemain yang sinonim dengan jersi bernombor 27 ini mahu membuktikan kemampuannya kepada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk kembali memilihnya.

Kali terakhir Hadin Azman beraksi bersama Harimau Malaya adalah ketika menang ke atas Indonesia dalam kelayakan Piala Dunia pada September lalu di Gelora Bung Karno – Malaysia menang 3-2.

“Saya gembira dan bangga dapat mewakili Kedah kerana Kedah adalah salah satu pasukan yang besar di Malaysia. InsyaAllah, saya akan cuba buat yang terbaik,” ujarnya yang dipetik daripada laman Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), sebentar tadi.

“Ya, betul. Ada beberapa pasukan yang cuba ambil saya tetapi saya sudah nekad sebab saya ada misi saya yang sendiri tahun depan. Jadi, tidak sukar untuk saya pilih Kedah sebagai destinasi saya,” tambahnya lagi yang sudah lima tahun bersama FELDA United.

Bercakap mengenai sumber rujukan dan juga individu yang banyak menjadi pendorong, Hadin Azman tanpa berselindung mengakui sering merujuk bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan.

“Saya selalu akan rujuk Shukor Adan sebab dia akan selalunya beri dorongan kepada saya serta bagi nasihat kepada saya,” jelasnya.

Bersama FELDA United untuk lima musim, pemain yang pernah beraksi bersama Harimau Muda B itu telah meledak 25 gol dan memiliki lebih 100 penampilan dan merupakan tonggak penting untuk mereka berjaya kekal di saingan Liga Super 2020.

Untuk saingan posisi, pemain ini dijangkakan tiada masalah besar kerana Kedah sememangnya memerlukan pemain yang berimpak besar di jentera sayap kiri yang pada musim lalu dikemudi Farhan Roslan dan pemain muda meningkat naik, Fayadh Zulkifli.

Kredit Featured Image: Kedah FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram