Tok Mat Letak Jawatan Sebagai Presiden PBNS

Kerjasama Semuanya BOLA

Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mengumumkan Datuk Seri Mohamad Hasan telah meletakkan jawatan sebagai presiden persatuan itu semalam.

Timbalan Presiden PBNS, Datuk Seri Mat Ali Hassan berkata, turut mengikut jejak Mohamad ialah dua Naib Presiden iaitu Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin yang juga Bendahari PBNS dan pengurus pasukan Liga Super Negeri Sembilan serta Datuk Abd Ghani Hasan.

“Beliau (Mohamad) menyatakan hasrat meletakkan jawatan Presiden dan lain-lain jawatan dalam PBNS termasuk pengerusi jawatankuasa pengurusan menerusi surat bertarikh 29 Mei lalu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBNS hari ini membuat keputusan sebulat suara menerima peletakan jawatan Mohamad dan kedua-dua Naib Presiden terbabit berkuat kuasa hari ini,” katanya pada sidang media.

Makluman rasmi mengenai perletakan jawatan YB. Dato' Seri Utama Hj. Mohamad Bin Hj. Hasan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Posted by Team N9FC on Wednesday, June 6, 2018

Mat Ali yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, berkata untuk memastikan pengurusan persatuan dan pengurusan pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia berjalan lancar, beliau akan menjalankan tugas memangku jawatan Presiden sehingga pemilihan akan datang.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat penghargaan kepada ketiga-tiga individu berkenaan di atas perkhidmatan cemerlang yang diberikan sepanjang menjawat jawatan itu.

Katanya, satu mesyuarat agung luar biasa dicadangkan akan diadakan bagi memilih barisan kepemimpinan baharu PBNS.

“Satu mesyuarat jawatankuasa bagi menetapkan tarikh mesyuarat agung itu akan diadakan dalam tempoh terdekat dan kemungkinan pada masa depan tempoh memegang jawatan tertinggi dalam PBNS akan dipendekkan kepada tempoh satu tahun saja.

“Justeru itu, kita (PBNS) akan menawarkan kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding merebut semua jawatan dalam persatuan itu kerana perlembagaan sudah dipinda bahawa semua jawatan terbuka ditandingi,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pihaknya akan menawarkan atau mencadangkan jawatan Presiden PBNS itu diisi oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun, Mat Ali berkata mesyuarat berkenaan tidak membincangkannya.

“Bagaimanapun, kita akan susuli dan melakukan risikan mengenai perkara itu kepada pihak yang berkenaan. Untuk hari ini fokus kita adalah untuk persatuan ini secara interim sehingga pemilihan nanti,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram