TMJ Tak Tahu Mengapa Tan Cheng Hoe Pilih Ramai Pemain JDT

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata baginda tidak faham mengapa Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memilih ramai pemain JDT untuk menyertai pasukan negara.

TMJ berkata demikian dalam satu sesi soal jawab yang dikongsikan melalui laman Instagram Story baginda sebentar tadi.

Kepada salah satu soalan: “Kenapa ramai player JDT di skuad Harimau Malaya semalam?” – merujuk kepada perlawanan Malaysia menentang UAE, ini jawapan baginda: “Tanya TCH. Saya pun tak tahu mengapa dia nak ambil ramai sangat player JDT.

“Saya tak setuju sebab majoriti ini (skuad kebangsaan) player saya dan menambahkan risiko injury kepada player-player saya,

“Banyak kali saya bertanya kepada beliau. Saya pun nak juga lihat Tan Cheng Hoe ambil player dari pasukan lain sebab saya juga nak tengok berapa jauh mereka mampu pergi.

Daripada senarai kesebelasan utama skuad kebangsaan yang berhadapan UAE pada malam tadi, sembilan daripada pemain yang memulakan perlawanan adalah pemain dari JDT. Ini termasuklah pemain naturalisasi Liridon Krasniqi yang dipinjamkan ke Newcastle Jet, dan Guileherme de Paula yang baru menyertai skuad Harimau Selatan dari Perak FC pada jendela perpindahan kedua lalu.

Dua pemain yang bukan pemain JDT diturunkan di dalam kesebelasan utama ialah Dion Cools (FC Midtjylands) dan Azam Azih (Sri Pahang FC). Azam bagaimanapun digantikan dengan Syafiq Ahmad – juga pemain JDT pada babak kedua perlawanan.

Secara keseluruhan 10 pemain JDT terlibat dalam perlawanan menentang UAE yang berkesudahan dengan kekalahan 4-0.

Dalam perkembangan berkaitan, TMJ turut menafikan pemain-pemain yang dipanggil menyertai pasukan negara mempunyai kurang minit perlawanan.

“Bila kalah ramai nak mention JDT, tapi bila menang pantang kalau penyokong JDT sebut ramai player JDT. Masa lima perlawanan sebelum ini Team Malaysia, masa kalah satu perlawanan Team Selatan/JDT.

“Dalam team Malaysia semalam pemain JDT mana yang tiada minit dalam Liga Malaysia? Farizal, Cornin, Aidil, Matt first eleven JDT. Safawi, Syamer dah main lapan game liga (musim) 2021. Liridon on loan kat Australia, De Paula baru join JDT lepas regular di Perak,” jelas baginda.

Selepas kekalahan 4-0 kepada UAE, pasukan negara kini memiliki tempoh seminggu untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebelum berhadapan Vietnam pada 11 Jun, dan Thailand pada 15 Jun.

Skuad Harimau Malaya wajib menang kedua-dua perlawanan sekiranya mengimpikan kemaraan ke Piala Asia 2023 melalui laluan yang lebih mudah.

Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya:

3 Kesalahan Fatal Yang Dilakukan Harimau Malaya Menentang UAE

“Attitude” Tidak Betul Antara Punca Harimau Malaya Diratah UAE

Safee Sali: Kita Terpedaya Dengan Projek Naturalisasi

Leave a Reply