Membedah Konotasi Frasa ‘Daddy’s Home’ TMJ, Sumbangan & Reaksi Netizen

‘Daddy’s Home’. Itulah frasa yang menjadi tanda tanya kebanyakkan komuniti bola sepak tanah air sekarang. Benar-benar melepaskan jawatan atau sekadar nada kecewa?

Kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebook JOHOR Southern Tigers (JST), diikuti di laman Facebook rasmi milik badan induk bola sepak negara itu pantas mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.

Kronologi ringkas Presiden FAM

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dilantik secara rasmi sebagai Presiden FAM pada 25 Mac 2017 di dalam Kongres ke-53 FAM yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Baginda diumumkan sebagai Presiden FAM tanpa bertanding selepas Tan Sri Annuar Musa yang juga merupakan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada masa itu menarik diri daripada mencabar jawatan tersebut, 48 jam sebelum berlangsungnya Kongres FAM pada ketika itu.

Perlantikan TMJ sebagai Presiden FAM itu sendiri telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu termuda yang pernah memegang jawatan itu.

Sumbangan TMJ

Akhirnya selepas 30 tahun di bawah tampuk pengurusan sebelumnya, sekurang-kurangnya pemerhati bola sepak tempatan boleh berasa optimis.

Perubahan demi perubahan selepas itu terus dilaksanakan; dengan memulihkan imej FAM sebagai badan yang boleh dipercayai terus menjadi agenda utama Baginda.

Tidak menunggu lama untuk memulakan tugas, antara perubahan pertama yang dilakukan oleh TMJ ialah menukarkan kembali nama skuad kebangsaan daripada Harimau Malaysia kepada Harimau Malaya.

Serentak dengan itu, 20 kakitangan FAM yang baginda rasa tidak diperlukan turut dilepaskan pada 4 April termasuk Frank Bernhardt yang mengendalikan skuad B-23 negara ketika itu.

Penstrukturan kembali di dalam FAM turut menyaksikan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee diarahkan untuk mengambil alih skuad kendalian Bernhardt. Ia adalah langkah tepat oleh Baginda sekiranya prestasi skuad negara di Kejohanan Piala AFC B-23 di China pada awal tahun diambil kira.

Turut mengujakan ramai pihak ialah kejayaan TMJ membawa masuk barisan penaja yang terdiri daripada syarikat koporat besar seperti Telekom Malaysia melalui jenama unifi dengan tajaan bernilai RM480 juta untuk pertandingan Liga Super; dan Shopee Malaysia untuk saingan Piala FA.

Sejarah turut tercipta apabila hak penyiaran oleh iflix dengan pelaburan bernilai RM300 juta selama 10 tahun yang menjanjikan pulangan lumayan kepada semua pasukan bertanding.

Nilai pelaburan untuk bola sepak tempatan oleh pelabur-pelabur ini sendiri sudah mencipta sejarah kepada bola sepak negara daripada segi pendapatan; sekaligus meningkatkan nilai Liga Malaysia.

Harimau Malaya

Antara perkara yang ditekankan oleh baginda ketika mengambil alih tampuk pengurusan FAM ialah untuk memperbaiki prestasi skuad negara di pentas antarabangsa.

Setelah kemelut Mario Gomez yang pada mulanya dijangka mengambil alih peranan Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali skuad senior, baginda terpaksa beralih kepada Nelo Vingada.

Foto: Facebook FAM

Malangnya strategi baginda tidak menjadi. Prestasi buruk sepanjang pusingan Kelayakkan Piala Asia 2019 tatkala peminat bola sepak tempatan dahagakan kejayaan segera menjadikan baginda sebagai Presiden FAM turut dipalit oleh kritikan.

Tetapi jika skop yang lebih luas diperhatikan, adakah TMJ gagal di dalam membentuk skuad kebangsaan yang serba mantap pada masa hadapan?

Tidak. Baginda tidak gagal. Satu perkara yang sering dilupai oleh kebanyakkan peminat bola sepak tempatan ialah kejayaan tidak datang di dalam sekelip mata.

Kesebelasan utama menentang Iraq dalam Kejohanan AFC B-23. Foto: Facebook FAM.

Atas usaha baginda, kerjasama di antara Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan FAM tercipta- sesuatu yang gagal dilaksanakan oleh pengurusan terdahulu walaupun program nasional berkenaan telah dilaksanakan beberapa tahun sebelum itu.

Hasilnya skuad B-16, diikuti oleh skuad B-19 dan B-23 negara berjaya melayakkan diri untuk bertanding di pusingan akhir kejohanan benua Asia.

Kritikan

Tidak ada sesiapa yang pernah mengatakan bahawa untuk mengubah landskap bola sepak negara adalah tugas mudah. Bola sepak kita sakit, dan keadaannya tenat.

Kesungguhan baginda untuk memartabatkan bola sepak negara sangat jelas. Namun di dalam bidang ini, kritikan daripada pelbagai pihak sudah boleh kita jangkakan.

Namun harus kita akui, kritikan tersebut adakalanya ‘terlampau dilayan’ oleh Presiden FAM ini.

Siapa yang boleh menyalahkan baginda? Seperti saya dan anda, baginda turut mempunyai emosi dan perasaan.

Seperti kita, baginda juga merupakan manusia biasa yang taksub akan bola sepak, dan turut dahaga melihat bola sepak negara maju setanding negara kuasa besar yanglain.

Sidang media pada 23 November yang lalu adalah contoh bagaimana emosi baginda menyelubungi perkara utama yang beliau rancangkan untuk bola sepak negara.

Tatkala ramai yang hanya mahu memandang sisi negatif dari sidang media tersebut, intipati yang disampaikan oleh TMJ jelas iaitu untuk membawa bola sepak negara ke tahap seterusnya terutama dari segi nilai komersil, dan bola sepak sepak sebagai sebuah industri di era globalisasi.

Pandangan Netizen

Setiap daripada kita berhak untuk mempunyai pandangan masing-masing mengenai kedudukan DYAM TMJ sebagai Presiden FAM. Soalannya, siapakah yang selayaknya tampil sebagai pengganti jika baginda meneruskan niat untuk melepaskan jawatan Presiden badan induk bola sepak negara itu?

Soalan ini boleh kita fikirkan kemudian apabila tiba masanya. Tetapi di sebalik cemuhan dan kritikan yang adakalanya tidak berasas, masih ramai masih mempercayai baginda harus kekal sebagai Presiden FAM.

Jangan lepas jawatan Presiden FAM

Mengapa mereka berfikir sedemikian?

Dalam satu kajian ringkas yang kami lakukan melalui laman media Facebook dan Twitter, terdapat netizen berpendapat ini bukan  masa yang sesuai sesuai untuk melepaskan jawatan tersebut.

Apa yang dikongsi oleh saudara Issaiful Nizam Ibrahim di laman Facebook beliau ada asasnya.

Menurut beliau, TMJ adalah Presiden FAM yang membangunkan bola sepak negara dengan strategi. Dan ia bagaikan satu langkah ke belakang jika baginda bertegas melepaskan jawatan tersebut, setelah melakukan tugas dengan baik selama hampir setahun.

Ada juga di kalangan netizen berpendapat bahawa ia adalah tugas baginda sebagai Presiden FAM untuk menaikkan kembali ranking pasukan negara di dalam senarai FIFA, dan tidak lari ketika ianya jatuh.

Manakala sebahagian lagi daripada netizen mahukan TMJ terus memberi fokus kepada apa yang baginda percaya untuk kebaikkan bola sepak negara, tanpa menghiraukan kritikan yang tidak berasas.

Bagi sesetengah netizem pula ia harus keputusan pilihan baginda sendiri. Walaupun tugas kelihatan belum selesai, Neil Obrien Joseph berpendapat TMJ telah mewujudkan penanda aras baharu kepada sesiapa sahaja yang bakal menggantikan baginda di FAM.

Lepaskan jawatan Presiden FAM

Sebenarnya pengumuman oleh TMJ dalam kenyataan semalam bukan satu perkara yang mengejutkan.

Ini kerana Baginda pernah mendedahkan dalam satu sidang media, bahawa Kongres FMLLP yang akan berlangsung pada 25 Mac nanti akan mengusul sekaligus meluluskan perlembagaan yang menetapkan Presiden FAM tidak boleh memegang jawatan Pengerusi FMLLP pada satu-satu masa.

Perlembagaan tersebut perlu digubal bagi mengelakkan conflict of interest, sekaligus memisahkan entiti kedua-dua badan pentadbir bola sepak negara tersebut sebagai badan bebas.

Buat masa ini, TMJ memegang kedua-dua jawatan tersebut. Berdasarkan apa yang dilakukan setakat ini, jelas baginda telah melakukan tugas dengan baik selaku Pengerusi FMLLP.

Antara perkara yang mulai dilakukan di bawah tampuk pengurusan TMJ selain daripada tajaan dan hak penyiaraan ialah perlesenan oleh setiap kelab dan persatuan yang bertanding di Liga Malaysia.

Bagi sesetengah pihak, isu perlesenan adalah sesuatu yang membebankan. Tetapi pernahkah pengurusan terdahulu cuba mengikhtiharkan perkara tersebut sebelum ini?

Jika ia tidak dimulakan, bila lagi? Bola sepak negara pasti terus ketinggalan setelah negara serantau yang lain mulai mengorak langkah memperkasakan perkara yang sama.

Selain daripada itu, kerjasama selama 50 tahun bersama La Liga turut merupakan sejarah ciptaan Baginda yang tidak pernah difikirkan oleh barisan kepimpinan FAM sebelum ini.

Cinta DYAM Tunku Mahkota Johor untuk kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak boleh kita nafikan. Sebabnya mudah. Baginda adalah pengasas dan pemilik kelab bola sepak tersebut.

Bagi kebanyakkan penyokong JDT, sudah tiba masanya Baginda kembali ke Johor untuk memberikan fokus kembali kepada kelab bola sepak di selatan tanah air itu.

Penutup

Jika kenyataan Setiausaha Agung FAM Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin diambilkira, ternyata kenyataan DYAM TMJ pada malam tadi mengejutkan ramai pihak.

Apa pun keputusan baginda, kita harus akui bola sepak negara masih memerlukan sentuhan dan visi daripada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

‘Daddy’s Home’. Berilah ruang, dan biarlah baginda sendiri yang menentukan sebaiknya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram