TM Tampil Jelaskan Punca Kerjasama Dengan MFL Tidak Diteruskan

Syarikat telekomunikasi terkemuka negara, Telekom Malaysia Berhad (TM) semalam tampil menjelaskan punca sebenar kerjasama dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) gagal diteruskan.

Menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan TM semalam, mereka menafikan gagal menjelaskan bayaran hak penyiaran seperti yang dilaporkan oleh pihak media kerana tiada perjanjian yang ditandatangani di antara kedua-dua pihak.

“Kedua-dua pihak sebaliknya gagal mencapai kata sepakat berhubung perkara asas mengenai aspek komersial bagi melanjutkan kerjasama berkenaan.

“Meskipun perbincangan mengenainya sudah beberapa kali dilanjutkan, namun masih tiada kesepakatan yang dicapai. Sehubungan itu, TM memaklumkan kepada MFL secara rasmi bahawa rundingan itu telah berakhir pada 1 November 2018,” jelas kenyataan tersebut.

Bulan Disember tahun lalu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, memberi bayangan kemungkinan Liga Malaysia kehilangan penaja utama.

Syarikat telekomunikasi itu dikatakan telah memeterai perjanjian 8 tahun dengan MFL bermula 2018.

Ketika dibawah tajaan TM, liga super dikenali sebagai ‘unifi Liga Super Malaysia’ manakala Piala Malaysia dinamakan sebagai ‘unifi Piala Malaysia’.

Musim lepas, unifi bertindak menyatukan seluruh peminat sukan bola sepak tempatan melalui penyediaan akses menerusi unifi home, unifi mobile dan unifi wifi, bagi membolehkan tontonan kesemua perlawanan di unifi TV dan unifi PlayTV.

Mereka juga merupakan satu-satunya platform terbesar yang menayangkan setiap perlawanan bola sepak dan program- program khas lain melangkaui kesemua Pay TV, Free-To-Air (FTA), Over-the-Top (OTT) dan mudah alih, memberikan pengalaman penumpuan yang holistik.

Sumber: FMLLP, Facebook

Meskipun ketiadaan TM, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam memberi jaminan pihaknya akan berusaha menyerahkan geran tahunan kepada 24 pasukan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, Kevin mendedahkan nilai serta tarikh penyerahan geran bakal terjawab sebaik sahaja pihaknya mencapai perjanjian bersama penaja baharu Liga Malaysia nanti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram