TM Potong Tajaan, CIMB Tarik Diri, Adakah Liga Malaysia Akan ‘Bungkus’?

MFL Liga Bolasepak Malaysia Liga M TM

TM dikatakan akan mengurangkan separuh daripada jumlah tajaan, sementara CIMB dikhabarkan akan menarik diri daripada menaja Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Bagaimanakah nasib Liga M musim depan? Menurut laporan The Vibes, Liga M mungkin bakal berdepan dengan kesukaran seterusnya muflis. Ketika ini, semua mata akan tertumpu kepada pihak kerajaan terutamanya Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan antara punca kepada perkara ini.

Ya, semua akan dapat menerima jika ianya adalah isu keselamatan dan kesihatan disebabkan pandemik COVID-19 yang sedang dilalui oleh negara ketika ini.

Tetapi, apabila industri hiburan diberi lampu hijau untuk terus beroperasi atas sebab ‘rakaman setiap artis adalah di lokasi berbeza-beza’ dan ianya hasil ‘cantuman grafik secara maya’, ianya amat sukar untuk diterima oleh hampir semua pihak.

Semalam, heboh diperkatakan tentang seorang artis yang menyertai pertandingan Muzik-Muzik anjuran TV3, Alif Satar yang disahkan positif COVID-19. Semua yang terlibat dan berada di lokasi pertandingan itu perlu menjalani ujian swab ketika ini.

Jadi, bagaimanakah rakaman yang dikatakan dilakukan’ secara berasingan’ tersebut menyebabkan semua perlu menjalani ujian swab? Adakah ‘cantuman grafik’ menjadi punca kepada penularan COVID-19 dalam rancangan hiburan tersebut?

Menurut The Vibes, “Pada awal tahun lalu, Shopee telah membatalkan penajaan RM1 juta mereka kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila saingan Piala FA terpaksa dibatalkan berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

“Difahamkan, Telekom Malaysia (TM) – penaja terbesar MFL akan memotong tajaan mereka daripada RM30 juta kepada RM15 juta untuk musim akan datang. Mereka kurang berpuas hati dari segi penjenamaan dan keaktifan [pertandingan] dengan situasi semasa kini. Pembatalan Piala Malaysia telah menyukarkan pihak TM.

“Penaja-penaja telah mengalami kerugian dan dipercayai bahawa TM telah meminta kepada MFL untuk menebus setengah daripada jumlah tajaannya, sementara hanya RM15 juta pula akan diperuntukkan untuk saingan musim hadapan,” menurut artikel itu lagi yang dikatakan didapati daripada sumber dalaman pihak MFL sendiri.

Selain itu, sumber tersebut juga memaklumkan bahawa penaja untuk saingan Liga Super, CIMB mahu menarik diri daripada menjadi penaja dan MFL bakal kehilangan sejumlah RM2 juta daripadanya. Begitupun, rundingan dipercayai masih berlangsung antara pihak MFL dan CIMB berhubung tajaan pertandingan tersebut.

Apakah nasib Liga M? Apakah nasib pasukan-pasukan yang sedang rancak membuat persediaan? Dan apakah nasib pemain-pemain dan individu-individu yang terlibat mencari rezeki melalui pertandingan yang dianjurkan oleh MFL nanti agaknya?

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Baca lagi artikel mengenai TM dan Liga M:

MFL Beri Jaminan Tetap Serah Geran Tahunan Walaupun Tanpa TM

Di Sebalik Penamatan Tajaan Oleh TM & Apakah Yang Perlu Dilakukan MFL Seterusnya

Mukhriz Mahathir: Mana Geran Penyiaran 2019 Dan Jadual Liga Malaysia 2020?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply