TM Bakal Kembali Taja Liga Malaysia

Kira-kira setahun yang lalu, Liga Malaysia ibarat menerima tamparan hebat apabila Telekom Malaysia (TM) melalui jenama unifi menarik diri selaku penaja utama pertandingan bola sepak negara.

Walaupun pada mulanya Malaysia Football League (MFL) telah melakukan penafian, penarikan diri tersebut tetap berlaku walaupun unifi telah memeterai perjanjian 10 tahun sejak 2018.

Bernama melalui satu laporan semalam berkata syarikat telekomunikasi terbesar negara itu dijangka akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia pada musim akan datang.

Ini berdasarkan satu jemputan daripada sebuah firma perhubungan awam dilantik TM yang diedarkan kepada media hari ini.

TM menerusi anak syarikatnya TM Multimedia dan MFL dijangka menandatangani satu perjanjian baharu sebagai penaja rasmi pada Jumaat ini di Pusat Konvensyen TM di ibu negara.

“Kami dengan sukacitanya menjemput anda untuk menyaksikan majlis menandatangani antara Telekom Malaysia, menerusi anak syarikatnya TM Multimedia dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M).

“Sertai kami untuk meraikan pembaharuan kerjasama kami dengan MFL dan untuk memelihara semangat perpaduan dalam menyokong senario bola sepak tempatan dan sukan Malaysia,” menurut jemputan itu.

Unifi sebelum ini memeterai perjanjian bernilai RM80 juta dengan RM8 juta setiap tahun yang merangkumi hak penyiaran televisyen dan internet.

Namun pada Mac 2019, MFL dan TM menamatkan kontrak tersebut selepas kedua-dua entiti gagal mencapai persetujuan susulan perbincangan meneruskan perjanjian kerjasama penajaan tidak berjalan lancar. 

Pada Oktober lepas, MFL menarik balik tuntutan saman terhadap TM berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram