Tinggalkan Liverpool, Luis Alberto Anggap Keputusan Ke Lazio Terbaik Buatnya

Luis Alberto

Pemain tengah Lazio, Luis Alberto menganggap keputusannya meninggalkan Liverpool untuk menyertai kelab Serie A itu adalah satu keputusan terbaik dalam hidupnya.

Beliau yang berhijrah ke Liverpool pada musim 2013/14 daripada Sevilla dengan yuran perpindahan bernilai £6.8 juta, gagal untuk mendapat tempat di hati pengendali ketika itu, Brendan Rodgers apabila hanya berpeluang membuat 12 penampilan dalam semua kejohanan yang disertai The Reds.

Pemain berusia 27 tahun itu kemudiannya dipinjamkan selama dua musim ke kelab La Liga untuk beraksi bersama Malaga (2014/15) dan Deportivo La Coruna (2015/16).

Sedar masa depannya bersama kelab Merseyside itu tidak mampu untuk diselamatkan, Luis Alberto mengambil keputusan dengan mengubah haluan karier beliau ke Lazio.

Hanya pada musim pertama di Stadio Olimpico sahaja beliau tidak menikmati minit perlawanan yang diharapkan, selepas itu beliau sudah mula mendapat tempat kepercayaan pengendali pasukan, Simone Inzaghi.

”Saya tidak mendapat minit permainan yang diharapkan ketika di Liverpool, kemudian saya bermula baik di Malaga dan menikmati karier bola sepak di Deportivo ketika saya mengalami kecederaan.”

”Saya telah membuat langkah besar ketika di Lazio, sebuah kelab yang luar biasa. Menyertai Lazio adalah keputusan terbaik dalam hidup saya,” ujar Luis Alberto menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Tiada siapa benar-benar mengenali saya dan itu adalah salah saya. Saya berlatih secara bersendirian ketika di Liverpool tetapi mentaliti itu berubah bersama Juan Campillo dan mengambil langkah seterusnya.”

Setelah empat musim bersama Lazio, Alberto telah membuat 95 penampilan dan turut menjaringkan 20 gol dalam kempen Serie A.

Kredit foto: Danilo Di Giovanni/Quality Sport Images/Getty Images

Baca artikel yang lain dari kami mengenai Lazio:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram