Tindakan KAFA Sekat Perpindahan Badhri Radzi Sudah Melampau

Iklan

Mohd Baddri Radzi menganggap dirinya telah dizalimi oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) setelah beliau diminta untuk melupakan tunggakan gaji selama dua bulan oleh badan bola sepak itu sebagai syarat untuk diberikan Sijil Perpindahan Negeri (SPN).

Sijil Perpindahan Negeri (SPN) membenarkan pemain-pemain untuk berhijrah menyertai pasukan baharu yang bersaing di Liga Malaysia. Tanpa SPN, Badhri Razi yang turut lebih mesra disapa sebagai Piya berkata tidak mungkin untuk beliau menyertai pasukan baharu, Kelantan United.

Tidak patut terjadi

Melalui satu laporan daripada Berita Harian pada hari ini, Piya menyifatkan syarat yang diletakkan oleh KAFA itu sebagai tidak masuk akal – apatah selepas bertahun lamanya menabur bakti bersama pasukan negeri itu sebelum ini.

Malah Piya berkata tindakan KAFA itu adalah satu penganiayaan buat diri beliau sebagai pemain, dan dilihat seolah-olah sebagai usaha untuk menutup periuk nasi beliau yang mahu meneruskan karier bersama pasukan lain.

Gaji

“Mereka (KAFA) sudah gantung saya tidak bertali, sampai macam ini sekali nak tutup periuk nasi saya. Apa yang KAFA buat ini memang kerja zalim.

“Sebelum ini mereka sudah bersetuju menamatkan kontrak dan melepaskan saya menyertai pasukan lain, tapi kini mereka letak syarat untuk saya lupakan tunggakan gaji dua bulan jika mahukan SPN,” jelas Piya kepada wartawan Berita Harian.

Tunggakan dari tahun lalu

Bekas kapten yang sinonim dengan era kegemilangan The Red Warriors itu turut mengesahkan beliau belum menerima sebarang bayaran tunggakan gaji dari tahun lalu.

“Saya tidak tahu apa masalah KAFA dengan saya dan tunggakan gaji yang saya tuntut sebelum ini termasuk tahun lalu pun saya tidak dapat apa-apa lagi,” ujar beliau.

Badhri Radzi sah sertai pasukan Kelantan United. FOTO: KUFC

Musim ini segalanya seperti serba tidak kena buat Piya. Pernah angkat kaki disebabkan isu gaji bersama KAFA pada tahun lalu, awal musim ini pemain tengah berusia 37 tahun ini memilih untuk ke Perlis, namun menghadapi situasi yang lebih kurang sama.

Piya kemudiannya diyakinkan untuk kembali menyertai TRW di bawah pengurusan baharu, sebelum kerjasama diantara syarikat KRW Sdn Bhd dan KAFA mengalami masalah.

Piya turut mengesahkan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya KAFA terus dengan syarat tidak masuk akal sedemikian.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram