Tiga Keistimewaan ‘The Red Warrior’ Di Mata Amiridzwan Taj

Pertahanan tengah Kelantan yang baharu, Amiridzwan Taj Tajuddin memaklumkan kepada Semuanya BOLA bahawa dirinya teruja untuk kembali menyarung jersi negeri kelahirannya.

Pada musim 2015, pemain yang lebih dikenali dengan nama Taj atau mesra dipanggil ‘Panjang’ itu telah menyertai Kelantan daripada ATM ketika pasukan itu di bawah kendalian jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah.

“Perasaan tetap sama seperti musim 2015. Saya tetap sentiasa teruja dan berbangga untuk menyarung jersi negeri kelahiran sendiri,” ujar Taj kepada Semuanya BOLA.

Melihatkan senarai pemain Kelantan setakat ini, besar kemungkinan Taj bakal menjadi tunjang utama pertahanan dan akan bergandingan dengan pertahanan import, Cassio de Jesus di pertahanan tengah.

Walaubagaimanapun, bekas pemain PKNS FC musim lalu itu perlu memastikan dirinya bebas daripada sebarang kecederaan untuk kembali menempatkan dirinya dalam pasukan utama.

Taj ketika bersama ATM. Foto: Alchentron

Taj kerap kali diketepikan akibat masalah kecederaan berpanjangan yang dialaminya dan telah merencatkan perkembangan kariernya bersama tiga pasukan sebelum ini.

“Jujurnya tiada pemain yang mahu ditimpa kecederaan dan kecederaan adalah perkara yang di luar kawalan kita. Tapi saya sentiasa berusaha untuk kembali pulih seperti asal.

“Buat masa ini saya masih dalam keadaan baik tanpa sebarang kesakitan,” ujarnya lagi yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan ketika dikendalikan oleh Datuk K. Rajagobal.

Ini dapat menjawab segala kegusaran para penyokong The Red Warrior (TRW) sebelum ini. Harian Metro sebelum ini melaporkan Ketua Kelab Gendang Penyokong Kelantan, Harun Mamat, bimbang mengenai tahap kecergasannya.

Selepas berlaku sedikit kemelut antara dirinya dan juga pihak pengurusan Kelantan pada 2015, dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Terengganu pada musim 2016 dan kemudian ke PKNS FC (2017).

Amiridzwan Taj menyertai Terengganu bersama-sama Joseph Kalang Tie dan Yong Koung Yong. Foto: Utusan.

Pada 2016, Goal melaporkan bahawa Taj telah bercakap kepada Harian Metro mengenai tunggakkan gajinya dan mahukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Terhad Liabiliti Bolasepak Malaysia (FMLLP) serius menangani isu tersebut.

“Jujurnya saya tinggalkan Kelantan bukanlah disebabkan masalah gaji seperti yang telah di gembar-gemburkan,” jelasnya kepada Semuanya BOLA apabila dilontarkan persoalan mengenai perkara tersebut.

“Tiada istilah serik,” tambahnya lagi disamping turut menyatakan pihak pengurusan pasukan sewajarkan mengikut kontrak yang telah dipersetujui dan ditetapkan bersama pemain.

Bakal menginjak ke usia 32 tahun pada 2018, pemain tinggi lampai itu sudah boleh dianggap pemain senior dan bakal bersaing merebut tempat bersama pemain-pemain muda TRW.

“Di mana-mana pasukan tetap ada persaingan. Cuma perlu jadikan persaingan itu secara positif untuk majukan diri dan kerjasama antara satu sama lain untuk kebaikan pasukan.

“Tentang kesebelasan utama, semuanya terpulang kepada keputusan jurulatih,” ujarnya disamping menyatakan sebagai pemain, mereka perlu memberikan yang terbaik dan termampu ketika latihan serta perlawanan.

Amiridzwan Taj sangat menyerlah di ATM. Foto: Alchentron.

Semuanya BOLA turut bertanyakan kepada Taj mengenai tiga keistimewaan yang ada pada pasukan Kelantan. Selain daripada faktor Kelantan adalah negeri kelahirannya, Taj menggariskan dua lagi keistimewaan Kelantan di matanya.

“Kelantan mempunyai sejarah dan rekod yang baik di dalam saingan liga. Dan Kelantan juga memiliki ramai pemain-pemain berkualiti,” jawab Taj disamping menyatakan dia bangga untuk bersama Kelantan musim ini.

Ketika ditanyakan mengenai perbezaan gaya hidup dan kehidupannya ketika di bandar besar, Selangor dan juga Kelantan, beberapa perkara positif telah dinyatakan oleh Taj.

“Di Kelantan, perbelanjaannya lebih murah dan pastinya lebih banyak masa dapat dihabiskan bersama keluarga,” ujarnya ringkas sebelum mengakhiri bicaranya.

Kami di Semuanya BOLA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya buat Amiridzwan Taj bersama pasukan Kelantan untuk saingan musim 2018.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN