Tiada Undian Semula Untuk Bola Sepak Sukan Asia- KFA

Iklan

Tiada undian semula akan dilakukan untuk acara bola sepak Sukan Asia selepas dua dari pasukan yang sepatutnya berada di dalam proses undian awal tertinggal.

Sebaliknya, dua pasukan tersebut iaitu Palestin dan United Arab Emirates (UAE) akan menjalani proses undian untuk dimasukkan ke dua kumpulan berbeza.

Perkara itu disahkan oleh seorang jurucakap kepada Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) pada awal hari ini.

Satu proses undian semula telah dirancang untuk diadakan di ibupejabat Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur pada lewat hari ini.

Namun cadangan tersebut dibatalkan selepas pihak AFC mengadakan mesyuarat dengan pihak penganjur kejohanan dan juga Majlis Olimpik Asia.

Sukan Asia yang dijadualkan bermula pada bulan depan akan dilangsungkan di Jakarta dan Palembang, Indonesia.

Kehadiran UAE dan Palestin akan menyaksikan jumlah negara bertanding meningkat kepada 26 pasukan.

Empat kumpulan akan memiliki empat pasukan sementara dua kumpulan lagi dilengkapkan dengan lima pasukan.

Setiap pasukan yang bertanding dibenarkan untuk menurunkan tiga pemain di atas usia 23 tahun.

Undian sebelum ini menyaksikan skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bertemu juara bertahan, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Jurucakap KFA turut mengesahkan jadual perlawanan hanya akan dikeluarkan sebaik sahaja kumpulan untuk UAE dan Palestin sudah dimuktamadkan.

Kali terakhir pasukan negara berjaya meraih pingat di Sukan Asia ialah pada 1974, apabila membawa pulang pingat gangsa selepas menundukkan Korea Utara 2-1 di dalam aksi penentuan tempat ke-3.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram