Ini 7 Sebab Mengapa Tiada Acara Bola Sepak Di Sukan Komanwel

Sukan Komanwel

Sukan Komanwel 2018 baharu sahaja melabuhkan tirainya pada Ahad lalu. Australia selaku tuan rumah telah menjuarai temasya 4 tahun sekali itu dengan kutipan 80 pingat emas.

Malaysia pula telah mencapai sasaran pingat yang ditetapkan dan menamatkan kejohanan dengan pungutan 7 pingat emas, 5 perak dan 12 gangsa serta berada di kedudukan ke-12 keseluruhan.

Tahniah diucapkan kepada atlet-atlet yang terlibat terutamanya yang telah menyumbang pingat buat negara antaranya Datuk Lee Chong Wei, Pandalela Rinong dan Jun Hoong (terjun).

Persoalan yang kerap kali mengganggu fikiran penulis adalah mengenai ketiadaan acara bola sepak. Dan rasanya ada juga dikalangan pembaca yang terfikir perkara yang sama.

Oleh yang demikian, Semuanya BOLA akan soroti 7 sebab mengapa tiada acara bola sepak sepanjang temasya Sukan Komanwel berlangsung?

1) Bola sepak bukan antara 10 sukan teras

Sukan-sukan yang dimainkan di Sukan Komanwel adalah semua sukan yang telah diiktiraf secara rasmi oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), badan yang bertanggungjawab mengenai kawalan dan hala tuju Sukan Komanwel.

Untuk setiap kali penganjuran, 10 sukan teras adalah diwajibkan kepada tuan rumah dan tuan rumah bebas untuk melengkapkan maksimum 7 lagi sukan pilihan.

10 sukan teras dan wajib ada dalam setiap edisi adalah olahraga, badminton, skuasy, tinju, hoki, ragbi, boling padang, bola jaring (wanita), akuatik dan angkat berat.

sukan komanwel
Acara badminton, antara sukan teras dalam Sukan Komanwel. Foto: NST.

Sebagai contoh, di Sukan Komanwel 2018, Australia menyenaraikan 10 sukan teras dan dilengkapkan dengan 7 sukan pilihan antaranya gusti, ping pong, gimnastik dan menembak.

Dan pada 8 Mac 2016, bola tampar pantai diterima sebagai sukan ke-18 selepas tuan rumah membuat rayuan kepada CGF menjadikan temasya kali ini yang terbesar dalam sejarah.

Sementara untuk bola sepak, ia adalah sukan yang diiktiraf oleh CGF dan termasuk dalam sukan pilihan, namun penganjur selalunya tidak memasukkan dalam senarai sukan pilihan.

Selain bola sepak, acara sukan seperti biliard, lawan pedang dan golf juga masih tidak tersenarai walaupun ianya sukan yang boleh disenaraikan sebagai sukan pilihan.

Ini kerana, bagi CGF, walaupun diiktiraf, sukan-sukan tersebut dianggap masih memerlukan penambahbaikkan atau penambahan sub acara di dalam sukan tersebut.

Jadi, ianya adalah hak tuan rumah samaada mahu menyenaraikan sukan bola sepak sebagai sukan pilihan di Sukan Komanwel. Sehingga kini tiada tuan rumah yang ‘berminat’.

2) Berkaitan kebenaran FIFA

Semakan di laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sukan Komanwel tiada dalam senarai acara sukan yang mendapat pengiktirafan FIFA.

Antara kejohanan yang bukan di bawah seliaan FIFA tetapi mendapat pengiktirafan FIFA adalah Kejohanan Island, Piala Clerius, Piala Dunia Homeless dan Piala Dunia VIVA.

Sukan Komanwel
Tapak untuk Piala Dunia Homeless pada 2016 yang lalu. Foto: SkySports.

FIFA seperti menyekat atau tiada persetujuan untuk bola sepak berada dalam senarai acara Sukan Komanwel. Ia juga dikaitkan dengan untuk memastikan sukan tersebut kekal eksklusif.

Namun, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam perenggan sebelum ini, CGF meletakkan bola sepak dalam senarai sukan pilihan dan tuan rumah dibenarkan menyenaraikannya.

Sebagaimana Sukan Olimpik, ianya masih dibenarkan oleh FIFA dengan syarat negara menghantar skuad B-23 tahun serta perlawanan adalah dibawah pengawasan FIFA.

Oleh yang demikian, mungkin perlu ada usaha untuk membolehkan FIFA sekurang-kurangnya memberikan ‘lampu hijau’ untuk bola sepak dimainkan seperti di Sukan Olimpik.

3) Pertindihan dengan kalendar kejohanan FIFA dan ahli gabungan FIFA

Semua pastinya sudah sedia maklum ketika ini Liga Juara-Juara Eropah (ECL) dan Piala Europa (Europa) sedang hangat berlangsung dan telah memasuki fasa separuh akhir.

Sementara untuk kelab-kelab di Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC juga kini dalam fasa akhir peringkat kumpulan dan akan memasuki peringkat kalah mati.

Liverpool
Liverpool adalah antara pasukan yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Jika dilihatkan tarikh kejohanan tersebut, ia bertindih dengan tarikh penganjuran Sukan Komanwel. Sudah pasti, akan ada negara yang tidak dapat menyenaraikan pemain-pemain mereka.

Selain itu, pada Jun depan akan berlangsung kejohanan terbesar FIFA, Piala Dunia 2018. Tahun penganjuran Sukan Komanwel juga bertindih tahun dengan Piala Dunia.

Disamping itu, penyertaan negara dan slot penyertaan untuk acara bola sepak di Sukan Olimpik turut dilihat kurang hangat. Pada edisi 2016, hanya 16 pasukan bertanding.

Oleh yang demikian, tampak seperti bola sepak untuk disenaraikan dalam Sukan Komanwel agak sukar. Pasti akan ada tentangan dari FIFA mahupun negara-negara terlibat.

4) Pertindihan dengan jadual liga tempatan negara terlibat

Di sesetengah negara, liga tempatan sedang memasuki fasa akhir menuju ke penamat musim. Sudah pasti kelab-kelab utama tidak membenarkan pemain untuk ke Sukan Komanwel.

Seperti di England ketika ini, Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah berada di penghujung musim. Setiap kelab akan mula melakukan pecutan akhir untuk kedudukan terbaik liga.

Untuk beberapa negara sebagai contoh situasi di Malaysia, liga masih di awal musim, namun ia tetap akan menganggu kelancaran liga yang telah disusun oleh badan induk.

Bagi negara kecil yang tiada liga tempatan, mungkin tiada masalah untuk menghantar pasukan. Namun, jika tidak bergabung dengan FIFA, bolehkan mereka menghantar pasukan?

Negara-negara kecil seperti Jersey dan Kepulauan Falkland memang memiliki pasukan bola sepak tetapi mereka tidak bergabung secara rasmi dengan FIFA.

5) Kekangan negara yang memiliki skuad bola sepak yang baik

Jika dilihat dalam senarai negara yang terlibat dalam Sukan Komanwel 2018, majoritinya mungkin tidak akan menghantar pasukan kerana kebanyakkannya adalah negara kecil.

Selain itu, ada juga negara-negara Komanwel ini yang tidak bergabung dengan FIFA seperti Jersey, Kepulauan Falkland, Guernsey, Isle of Man, Niue dan Pulau Norfolk.

Skuad kebangsaan Kepulauan Falkland. Foto: Blogspot.

Negara-negara besar seperti Australia, England, Cameroon dan Scotland sudah pasti tidak akan membawa skuad mereka kerana pertindihan dengan jadual-jadual kejohanan lain.

Ini memungkinkan kekurangan pasukan bola sepak yang bakal menyertai acara tersebut. Disebabkan itu, tuan rumah kerap kali memilih untuk meminggirkan sukan nombor satu dunia ini.

Penyelesaiannya mungkin adalah dengan menjadikan acara bola sepak seperti di Sukan Olimpik dan Sukan Asia iaitu terhad kepada skuad B-23 negara-negara terlibat.

6) Tarikh temasya yang tidak konsisten

Sukan Komanwel tiada sebarang tarikh tetap yang boleh dijadikan panduan. Sebagai contoh, edisi 2018 ia diadakan pada bulan April, 2014 (Julai), 2010 (Oktober), 2006 (Mac) dan 2002 (Julai).

Jika dibandingkan dengan Sukan Olimpik, setiap edisi diadakan sekitar bulan Ogos. Sukan Asia pula diadakan sekitar penghujung tahun antara Oktober hingga Disember.

Kebarangkalian ia akan mengganggu kejohanan bola sepak lain sangat besar kerana ianya terpulang kepada tuan rumah untuk memilih tarikh yang bersesuaian.

FIFA ataupun badan induk bola sepak di setiap negara akan sukar untuk mengatur kalendar kejohanan anjuran masing-masing kerana tiada tarikh tetap temasya.

Oleh yang demikian, ia akan menyusahkan FIFA atau badan induk bola sepak negara terlibat dan ini akan mengurangkan minat mereka untuk menghantar pasukan bertanding.

7) Bola sepak bukan untuk Sukan Komanwel

Sukan Komanwel adalah mengenai sukan trek dan olahraga serta sukan tradisi yang telah lama menjadi sebahagian daripada temasya empat tahun sekali itu.

Antara sukan yang sememangnya tersenarai sejak daripada edisi pertama pada tahun 1930 di Kanada adalah sukan olahraga, tinju, renang, boling padang dan gusti.

Sukan Komanwel
Juara Piala Dunia 2014, Jerman. Foto: Shaun Botterill – FIFA.

Bola sepak sudah memiliki kejohanan tersendiri antaranya Piala Dunia dan Piala Eropah. Dan pada pandangan penulis, cukup-cukuplah. Sukan Olimpik pun ada bola sepak.

Sukan Komanwel sudah cukup indah tanpa melibatkan bola sepak selama penganjurannya. Dan mengapa penganjur perlu memecah tradisi untuk menyenaraikannya?

Jika memenangi acara bola sepak dalam Sukan Komanwel, apakah indikasi pencapaiannya? Pasukan bola sepak terbaik di kalangan negara yang pernah berada di bawah jajahan British?

Penutup

Itu merupakan senarai 7 sebab mengapa tiada acara bola sepak di dalam temasya Sukan Komanwel. Sudah jelas tanpa bersuluh, bola sepak bukanlah untuk Sukan Komanwel.

CGF juga meletakkan syarat ‘penambahan sub acara’ dalam bola sepak sekiranya mahu disenaraikan.

Tuntasnya, sudah 88 tahun Sukan Komanwel berlangsung tanpa melibatkan acara bola sepak dan rasanya ia perlu dikekalkan sebegitu rupa. Ia miliki tradisi dan tarikannya yang tersendiri.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN