Thomas Meunier: PSG Boleh Tewaskan Mana-Mana Pasukan

Meunier

Pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Meunier melaungkan keyakinan menjelang pertemuan menentang Borussia Dortmund di peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 dengan menyifatkan kelab Perancis itu mampu untuk menewaskan mana-mana pasukan yang dihadapi.

PSG yang masih lagi kempunan untuk menjulang trofi paling berprestij di Eropah itu walaupun sudah berbelanja besar akan berkunjung ke Signal Iduna Park pada perlawanan pertama, 19 Februari ini.

Seperti diketahui, Borussia Dortmund kini semakin tajam merobek gawang pasukan lawan setelah penyerang muda, Erling Haaland mula menyertai pasukan tersebut ketika jendela perpindahan kedua dibuka pada Januari lalu.

Menurut sumber Goal, ketika mengulas mengenai adakah kelibat Haaland yang sudah meledakkan tujuh jaringan hasil tiga perlawanan Bundesliga itu menggentarkannya, ini adalah respon daripada Thomas Meunier:

”Takutkan dia? Saya pun tak berapa kenal dia.”

”Dia menjaringkan banyak gol, menyaksikan bahawa Dortmund berjaya mencetak jaringan yang sangat besar. Tetapi mereka juga merupakan sebuah pasukan yang melepaskan banyak gol,” ujar pemain berusia 28 tahun itu.

“Di atas kertas, PSG boleh mengalahkan mana-mana pasukan. Terpulang kepada kami untuk memastikan kami layak [ke suku akhir]. “

Pengurus PSG, Thomas Tuchel pastinya menjadi tumpuan pada perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan ini kerana beliau turut pernah membimbing Borussia Dortmund sebelum memilih untuk berkelana ke Paris.

PSG mara ke peringkat 16 terbaik dengan langkah bergaya selepas mengungguli saingan kumpulan A tanpa sebarang kekalahan setelah mencatatkan lima kemenangan dan satu keputusan seri. Satu lagi slot dari kumpulan tersebut diisi gergasi Eropah, Real Madrid.

Kredit foto: Dave Winter/Icon Sport via Getty Images

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram