Thierry Chantha Bin Teruja Bakal Bergandingan Bersama Leandro

Chantha Bin

Pemain import baharu Perak, Thierry Chanta Bin mahu menikmati karier cemerlang sekaligus membantu Perak mencapai keputusan memberangsangkan dalam kempen Liga Malaysia 2020 yang akan bermula 29 Februari ini.

Pemain skuad kebangsaan Kemboja kelahiran Villepinte, Perancis itu bersama-sama pemain pertahanan dari Australia, Antony Golec telah menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad ‘Yob’ pada 28 Januari lalu.

Beliau kemudiannya terus diberikan peluang beraksi oleh Mehmed Durakovic selama 45 minit pada perlawanan persahabatan bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Meskipun Perak tumpas 0-2 pada perlawanan tersebut, Chanta Bin masih mampu memperagakan corak permainan yang memuaskan.

”Sudah pastinya saya mahu bekerja keras untuk membantu Perak memenangi kejuaraan liga serta piala yang dipertandingkan pada musim ini.”

Chantha Bin ketika beraksi pada perlawanan persahabatan bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya. Kredit foto: FA Penang

”Saya memilih untuk berhijrah ke sini adalah kerana Perak merupakan antara pasukan terbaik di Malaysia serta dibarisi pemain-pemain dan jurulatih yang hebat.”

”Ia membuatkan pilihan saya sangat mudah [memilih pasukan]. Para penyokong Perak juga menakjubkan,” ujar Chantha Bin kepada wakil Semuanya BOLA.

Dengan ketiadaan Brendan Gan yang berhijrah ke Selangor, kekosongan itu dilihat hampir pasti akan diisi Chantha Bin untuk digandingkan bersama-sama pemain tengah ‘nakal’, Leandro Dos Santos Oliveira.

Sehubungan dengan itu, Chantha Bin mengakui beliau amat teruja untuk beraksi di samping pemain berusia 33 tahun itu.

”Saya sangat gembira [bergandingan dengan Leandro] kerana dia merupakan antara pemain tengah terbaik, seorang yang sangat keras dan saya tidak sabar untuk beraksi bersama dan lebih penting mempelajari sesuatu daripadanya.”

”Saya akan memberikan yang terbaik dan bekerja keras setiap hari untuk membantu pasukan Perak. Diharapkan para penyokong akan menyokong kami pada setiap perlawanan,” ujar Chantha Bin lagi.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram