‘The Bos Gaurus’ Giat Selaraskan Semua Media Sosial Pasukan

Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) tampak sedang giat menyelaras semula semua akaun di alam maya milik pasukan disamping turut melancarkan laman YouTube rasmi pasukan, PAFA TV, pada malam tadi.

Menerusi laman Twitter PAFA, pihak pengurusan telah mengumumkan perkara tersebut disamping memaklumkan, mereka juga sedang berusaha membangunkan laman web untuk The Bos Gaurus.

Pernah pada satu ketika, laman sosial Perak dilihat senyap sunyi tanpa sebarang khabar berita mengenai perkembangan pasukan sehingga ada dikalangan penyokong menganggap Perak sudah ‘mati’.

Ia dikaitkan dan dikatakan berikutan penghijrahan pemain paling berpengaruh dalam pasukan iaitu Brendan Gan ke Selangor, namun ia bukanlah masalah besar buat pasukan yang sedia ada besar.

Kini, laman Facebook, Instagram dan Twitter Perak The Bos Gaurus dilihat kembali aktif selain turut menyiarkan perlawanan pra-musim di dalam negara secara siaran langsung di laman Facebook mereka.

Antara aksi persahabatan yang telah disiarkan secara langsung sebelum ini adalah seperti perlawanan Perak menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya dan juga Perak II bertemu Sarawak United.

Untuk Jelajah Pra-Musim di Singapura sahaja, PAFA dilihat tidak menyiarkan siaran langsung tetapi tetap menyiarkan keputusan separuh masa dan masa penuh kedua-dua perlawanan di Sebarang Tambak itu,

Ia satu perkembangan yang amat positif untuk kembali menyemarakkan sokongan Yob dan Yong terhadap pasukan biarpun telah dilanda sedikit badai sebelum pra-musim 2020 bermula tempohari.

Laman sosial pasukan sangat penting pada masa kini, sesuai dengan peredaran zaman yang mahukan informasi pantas dan tepat terutamanya daripada pihak pengurusan pasukan sendiri.

Untuk makluman jua, aksi Unity Shield berdepan Kedah pada Sabtu ini, para penyokong juga akan dapat menonton secara langsung perlawanan tersebut di laman Facebook, Perak TBG.

Para penyokong boleh melayari laman-laman rasmi berikut untuk mendapat informasi terkini pasukan; Perak TBG (Facebook), Perak The Bos Gaurus (Instagram dan Twitter) dan PAFA TV (YouTube).

Menurut kenyataan PAFA di posting tersebut, mereka amat berharap para penyokong akan mengikuti perkembangan pasukan di saluran rasmi pasukan dan mahu ia menjadi rujukan utama semua.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram