‘Tetapkan SOP Baharu’ – Hasrinizam Harap MPFL 2020 Akan Kembali Bersambung

Iklan

Hasrinizam Hashim, Pulau Pinang

Pengendali skuad futsal Pulau Pinang, Hasrinizam Hashim berharap yang Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2020 akan diteruskan semula oleh pihak penganjur.

MPFL 2020 baru berlangsung satu perlawanan sebelum kerajaan mengeluarkan perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac sehingga kini akibat pandemik COVID-19 menyebabkan segala aktiviti sukan digantung.

Sehingga kini, masih belum ada keputusan rasmi mengenai Liga Malaysia dan juga MPFL, samaada ia akan diteruskan semula ataupun akan terus ditamatkan.

Mungkin sedikit khabar melegakan kepada sukan futsal, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menyenaraikan MPFL dalam rayuan mereka kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) tempohari untuk menyambung semula saingan liga.

Sependapat dengan pandangan pengendali Terengganu FC, Mohd Rozairi Ahmad, mereka tidak kisah jika aksi futsal diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi menjamin keselamatan para pemain, petugas dan semua yang terlibat.

“Pendapat saya MPFL perlu disambung kerana banyak pasukan yang telah membuat pelaburan dan MPFL boleh dijalankan dengan menetapkan SOP baharu yang perlu diikuti oleh semua pasukan terlibat,” ujar Hasrinizam Hashim mengenainya.

“Ia juga boleh dimainkan dengan tanpa kehadiran penonton selepas ini bagi mengurangkan impak negatif wabak tersebut,” sarannya yang pada musim lalu bertindak sebagai pembantu jurulatih kepada skuad futsal Pulau Pinang.

Hasrinizam juga berharap yang graf harian kes baharu COVID-19 akan menurun seterusnya membenarkan MPFL untuk kembali bersambung semula. Menurutnya, semua pasukan sangat ternanti-nanti keputusan oleh pihak kerajaan ketika ini.

“Semua pasukan masih menunggu keputusan daripada FAM dan kerajaan. Harapan bersambung hanya akan diketahui sekiranya PKP ketika raya ini menunjukkan penurunan kes baru dan kita berasa selamat untuk bermain,’ jelasnya.

“Paling kurang sebulan untuk setiap pasukan membuat persediaan dan mencapai tahap kecergasan kerana ketika PKP, pemain masih meneruskan latihan di tempat tinggal masing-masing dengan pemantauan oleh barisan kejurulatihan.

“Kita telah menyediakan program latihan ketika PKP untuk kekalkan tahap kecergasan pemain, dan pemain hanya perlu mengikutinya dan menghantar video latihan kepada jurulatih,” tambah Hasrinizam lagi ketika ditanya oleh Semuanya BOLA.

KREDIT FEATURED IMAGE: LIGA FUTSAL PULAU PINANG

Baca lagi artikel mengenai MPFL 2020 dan Futsal Pulau Pinang:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram