“Tertunggak 2 Bulan Setengah Pun Riuh Sekampung” – Presiden Sarawak United

Posa Majais Sarawak United

Kemelut isu gaji melibatkan pasukan Sarawak United akhirnya dijawab sendiri oleh presiden kelab dari Borneo itu, Datuk Posa Majais bahawa tunggakan kepada pemain-pemain sudah pun dijelaskan sedikit demi sedikit.

Situasi itu sekaligus memungkinkan The Crocs terselamat daripada diheret ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas dua pemain importnya sebelum ini menghantar notis tuntutan berhubung tunggakan gaji selama dua bulan setengah kepada pengurusan pasukan.

Menurut Posa yang yang ditemubual oleh Berita Harian, pihaknya telah menyelesaikan hampir sebahagian besar gaji pemain pada minggu ini dan ada juga pembayaran yang akan dibuat pada minggu depan.

“Kelmarin saya sudah selesaikan enam cek. Kita juga sudah selesaikan untuk mereka yang bergaji kecil. Apa yang pasti kita akan cuba selesaikan tunggakan itu sebelum bermulanya perlawanan Piala Malaysia nanti,” ujar Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.

“Kita juga sudah selesaikan tunggakan gaji pemain import semalam (kelmarin), jadi hanya tinggal sebulan setengah lagi. Bagaimana kes ini akan dibawa ke FIFA? Kita juga berikan wang pendahuluan kepada pemain.

“Tunggakan baru dua bulan setengah tetapi riuh sekampung sedangkan ada pasukan lain yang tertunggak lebih lama. Pemain yang lama dengan saya akan faham situasi seperti ini.

“Kenapa dengki sangat dengan Sarawak United? Kalau mahu jatuhkan Sarawak United dengan cara kotor, buruk padahnya nanti.”

Menjawab mengenai masalah kewangan yang dihadapi pasukannya, Posa menjelaskan semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini berdepan cabaran yang sama ekoran dari pandemik Covid-19 dan berharap semua pemain dapat memahami situasi tersebut.

“Sepanjang tempoh COVID-19, semua pasukan tidak mampu menjana kewangan daripada jualan tiket kepada penonton. Tetapi kita sentiasa mencuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan tunggakan ini,” tambahnya lagi.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply