TERKINI: Kejuaraan AFC B-19 Ditangguhkan Ke Tahun 2021

AFC

Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini telah membuat beberapa pengumuman penting berhubung penganjuran beberapa pertandingan di peringkat rantau itu pada tahun 2020.

Susulan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia, AFC perlu bertindak dengan lebih proaktif dalam menangani permasalahan ini kerana pendemik itu kelihatannya masih belum lenyap sepenuhnya dari muka bumi ini.

Antara yang menjadi tumpuan ialah penganjuran Kejuaraan AFC B-16 [16 September hingga 3 Oktober] dan B-19 [14 Oktober hingga 31 Oktober] akan ditunda sehingga awal tahun 2021.

Sementara itu dengan langkah penjagaan dan keselamatan yang diperketatkan, baki saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia bagi zon Barat akan diadakan secara berpusat di Qatar bermula 14 September ini.

Manakala bagi zon Timur pula dijangka bermula 15 November sehingga 13 Disember yang mana Malaysia telah diumumkan bakal menjadi tuan rumah bagi saingan tersebut sebelum ini. Perlawanan akhir akan diadakan di zon Barat pada 19 Disember 2020.

Kejuaraan Futsal AFC yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Turkmenistan akan diadakan di Kuwait dengan tarikh baharu iaitu pada 2 hingga 13 Disember untuk memberikan peluang buat pasukan bertanding untuk membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan tersebut.

Tiga pertandingan iaitu Piala AFC, Piala Solidariti dan Kejuaraan Futsal Kelab AFC menerima nasib yang berbeza dengan pertandingan lain apabila penganjuran ketiga kejohanan tersebut terpaksa dibatalkan pada tahun ini.

Piala Solidariti akan diadakan pada tahun 2024 manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sepatutnya menjadi tuan rumah Kejuaraan Futsal Kelab AFC 2020 akan terus dipilih untuk edisi 2021.

Sudah pasti badan induk bola sepak Asia yang diketuai Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa sebagai presiden itu mempunyai alasan kukuh dalam setiap keputusan diambil bagi menghadapi detik sukar buat sukan nombor satu dunia ini.

Dengan perkembangan terbaharu ini, skuad B-19 negara yang dibimbing Brad Maloney mempunyai lebih masa untuk menyediakan skuad terkuatnya bagi menghadapi saingan tersebut, tahun hadapan. Malaysia telah diundi berada dalam kumpulan D untuk bersama-sama Qatar, Tajikistan dan Yemen. 

Kredit featured image: Asian Football Confederation

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN