TERKINI: Akhyar Rashid Sah Milik Harimau Selatan

Kerjasama Semuanya BOLA

Pemain sayap skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid diumumkan sebagai pemain baharu yang bakal memperkuatkan pasukan juara Liga Super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pengumuman itu dibuat melalui rakaman video yang dimuat naik di laman facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers sebentar tadi sambil memaparkan penampilan Akhyar dengan kapsyen “Welcome To JDT”.

WELCOME TO JDT

Welcome To JDTHidup Johor Demi Johor#HarimauSelatan#SouthernTigers#PermataSelatan#JewelOfTheSouth#JDTuntukSemua#JDTforAll

Posted by JOHOR Southern Tigers on Friday, December 28, 2018

Akhyar yang mewakili skuad Kedah musim ini merupakan satu-satunya pemain tempatan yang diumumkan menyertai JDT setakat ini selepas mereka mengesahkan kemasukan dua pemain import baharu iaitu Aaron Niguez dan Mauricio Dos Santos Nascimento.

Perpindahan Akhyar kali ini berlangsung dalam suasana cukup kontroversi dan penuh drama. Sebelum ini Perlis FA secara terbuka menyatakan minat mereka apabila cuba melamar bintang muda Kedah itu. Namun, semalam dalam satu kenyataan media, mereka terpaksa melupakan khidmat Akhyar kerana kekangan kewangan.

Malah, beberapa hari lalu, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan mereka sedang berunding dengan Akhyar Rashid yang dikatakan sudah menjadi ejen bebas.

Ini kerana selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status mereka yang membenarkan Akhyar Rashid menebus kontraknya dengan nilai RM210,000.

Namun, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tampil dengan kenyataan mereka mahu mencabar keputusan FAM dengan mengemukakan rayuan. Menurut KFA, keputusan FAM itu tidak adil kerana mereka masih ada hak ke atas pemain yang ada kontrak dengan mereka.

KFA juga mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran pampasan kontrak dan Akhyar dikehendaki melapor diri pada sesi latihan mereka kerana masih menjadi milik mereka sehingga November 2019. Mereka juga akan membawa kes ini mahkamah timbang tara sukan.

Tidak cukup dengan itu, ejen kepada Akhyar Rashid, Wan Mohd Anwari daripada syarikat Marque Sports Management (MSM) mendedahkan dalam Sinar Harian, pemain tersebut menggunakan kaedah ‘rundingan pintu belakang’ tanpa pengetahuannya.

Disebabkan itu, dua tawaran daripada kelab Thailand, Bangkok United dan sebuah kelab dari Liga divisyen 2 Jepun terpaksa ditolak oleh ejen tersebut yang dilihat mahu mengembangkan karier bola sepak Akhyar di luar negara.

Apapun yang berlaku, kami berharap pihak Malaysia Football League (MFL) dapat memperkemaskan sistem transfer (sistem perpindahan pemain) yang boleh menjaga kepentingan kelab yang menjual, kelab yang membeli dan pemain itu sendiri supaya tiada sebarang kontroversi berlaku.

Kami di SemuanyaBOLA mengucapkan selamat maju jaya kepada Akhyar Rashid dengan pasukan baharu pada musim depan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply