Terikat 2-2 Pada Aksi El Clasico, Barcelona Masih Kekalkan Rekod Tanpa Kalah Dalam La Liga

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Barcelona

Pertembungan El Clasico di Nou Camp yang berlangsung awal pagi tadi berakhir dengan keputusan seri 2-2 walaupun Barcelona beraksi dengan 10 pemain selepas Sergi Roberto dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama.

Keputusan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah buat anak buah Ernesto Valverde ketika saingan La Liga hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi.

Barcelona yang sudah pun mengesahkan kejuaraan La Liga membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Luis Suarez.

Jaringan tersebut terhasil selepas Suarez yang tidak dikawal pertahanan Real Madrid dalam kotak penalti menolak masuk dengan mudah hantaran lintang dilakukan Sergi Roberto untuk menggamatkan stadium.

Gol pendahuluan penyerang antarabangsa Uruguay itu tidak bertahan lama setelah Cristiano Ronaldo kembali menyamakan kedudukan berselang empat minit kemudian.

Ronaldo pantas menyambar bola hasil tandukan yang dilakukan Karim Benzema walaupun Gerard Pique cuba untuk menghalang percubaan tersebut.

BARCELONA, SPAIN – MAY 06: Marcelo of Real Madrid is challenged by Jordi Alba of Barcelona in the penalty area during the La Liga match between Barcelona and Real Madrid at Camp Nou on May 6, 2018 in Barcelona, Spain. (Photo by Alex Caparros/Getty Images)

Pemain pertahanan kanan Barcelona, Sergi Roberto dilayangkan kad merah pada minit ke-45 akibat kekasaran yang dilakukannya terhadap Marcelo.

Memasuk separuh masa kedua, aksi menarik terus ditampilkan kedua-dua pasukan dengan corak serangan pantas seperti kebiasaan.

Real Madrid dirundung malang akibat kecederaan yang dialami Cristiano Ronaldo yang memaksa bintang kelahiran Portugal itu terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua.

Lionel Messi yang menerima hantaran Luis Suarez, menggelecek dua pemain pertahanan Real Madrid untuk mencipta jaringan kedua pada minit ke-52.

Real Madrid sekali lagi memadam kelebihan yang dijelmakan Barcelona apabila Gareth Bale pula menemui sentuhan jaringan pada minit ke-72 untuk jaringan kedua sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 2-2.

Pertembungan El Clasico bukan sahaja dihiasi dengan aksi panas serta layangan kad, malahan dua rekod telah tercipta melibatkan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.