Terengganu FC Umum Jelajah Pra Musim Di Vietnam

Naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu Football Club (TFC) bakal berkelana ke Vietnam pada bulan Januari 2019 bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan di sana.

Jelajah pra-musim itu sebagai persiapan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang dijangka lebih sengit dan mencabar. Mereka dijadualkan berada di sana pada 13 Januari dan akan mengakhirinya pada 18 Januari 2019.

“Semestinya kita ingin melakukan persediaan rapi buat pasukan kita untuk musim hadapan, dan kelab-kelab di Vietnam dilihat adalah antara yang terbaik di Asia untuk kita menguji secara awal pemain-pemain kita ini.

“Pasukan TFC akan bertemu Ho Chi Minh FC, seterusnya bakal bertemu juara National Cup Vietnam tahun ini, Binh Duong Football Club, dan sebagai sesi penamat bakal bertemu Troung Giang FC iaitu salah sebuah kelab amatur di Vietnam,” kata kenyataan daripada laman facebook rasmi Terengganu FC.

Skuad Terengganu FC sudah memulakan sesi latihan mereka sejak minggu lepas. FOTO: TFC

Selepas kehilangan sembilan orang pemain termasuk empat tonggak utama yang beraksi bersama mereka musim 2018, Terengganu FC mengorak langkah apabila menandatangani 10 orang pemain baharu yang berpengalaman luas dalam arena bola sepak tempatan.

Turut terselit dalam senarai pemain baharu tersebut adalah bekas pemain tengah Felda United, Ahmad Syamim Yahya serta pemain sayap Negeri Sembilan, Mohd Khairul Izuan Rosli.

Mungkin senarai pemain yang menyarung jersi Terengganu FC bagi musim depan itu adalah bukan nama besar dalam kancah bola sepak tanah air, namun bagi ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, beliau mempunyai alasan tersendiri.

Menurut laman web rasmi Terengganu FC, Irfan Bakti menjelaskan beliau lebih gemar untuk merekrut pemain yang tidak terkenal berbanding pemain yang mempunyai nama besar serta menerima bayaran gaji yang tinggi.

Irfan menyatakan beliau lebih cenderung untuk melahirkan pemain yang dirasakannya mampu untuk digilap bagi menjadi seorang pemain bola sepak yang baik.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram