Terasa Dengan Teguran TMJ, Selangor Nafi Tidak Jaga Kebajikan Pemain

Selepas dianggap sebagai pasukan yang dimaksudkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap pemainnya yang sedang melawan kanser, Selangor FC tampil menafikan tuduhan tersebut.

Dalam kenyaraan media rasmi yang dikeluarkan, pengurusan The Red Giants menegaskan pihaknya telah memenuhi setiap perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak pemain, sekaligus tidak timbul isu mengenai potongan gaji.

“Di sini kami ingin menjelaskan bahawa pihak kelab telah memenuhi semua kewajipan seperti yang dipersetujui di dalam kontrak dari awal hingga hari ini dan kami akan terus melakukannya sehingga tamat mana-mana kontrak sedia ada,” ujar kenyataan itu.

“Untuk sebarang urusan kontrak masa hadapan, adalah sedia maklum bahawa pengaturan baharu akan dibuat atas persetujuan bersama.

“Di Selangor FC kami sentiasa memberikan sokongan yang terbaik dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua pemain kami.”

Kapten Selangor, Brendan Gan lebih awal lagi memberikan kenyataannya menerusi satu ciapan di Twitter yang menjelaskan bahawa Selangor telah memenuhi kontraknya untuk tahun 2021.

Bagaimanapun isu ini belum lagi reda apabila TMJ terus ‘mengusik, dengan menampilkan bukti tangkap layar bersama seorang individu tidak dikenali mengenai apa yang berlaku.

Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan mengesahkan beliau telah didiagnosis menghidapi penyakit kanser testis pada Julai lalu.

Berita mengejutkan itu turut dikongsi oleh pasukannya Selangor FC yang memaklumkan kapten mereka telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut.

Pembedahan tersebut telah berjaya dilakukan dan kini pemain itu sedang gigih menjalani latihan untuk kembali menyertai pasukan secepat mungkin.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply