Teknologi NASA Antara Yang Digunakan JDT Pulihara Rumput Padang Stadium Sultan Ibrahim

Di dalam landskap bola sepak tanah air, JDT bukan sahaja merupakan juara lapan kali Liga Super Malaysia. Lebih daripada itu, kelab bola sepak yang berpengkalan di selatan semenanjung Malaysia ini juga merupakan pelopor kepada identiti kelab bola sepak moden di negara ini.

Namakan sahaja setiap perkembangan terkini di dalam industri bola sepak negara. JDT menjadi pasukan pertama yang akan dikaitkan, terutama di dalam bidang sains dan teknologi.

Lebih kurang setahun yang lalu melalui salah satu muat naik dan perkongsian di laman media sosial rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers telah menarik perhatian kami.

Melalui perkongsian tersebut kelihatan pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan ‘groundsman’ Padang Stadium Sultan Ibrahim memeriksa kualiti padang menggunakan cermin mata khas yang dikenali sebagai ‘Turf-Tec Stress Detection Glasses.’

Menurut perkongsian tersebut lagi, kaca mata ini dicipta khas untuk mengenalpasti kematangan padang dari jarak dekat atau pada jarak yang jauh.

Ia juga membenarkan kawasan-kawasan rumput bermasalah dapat dikenal pasti lebih awal sebelum ia jelas kelihatan secara visual, sekaligus pemeliharaan padang dapat dilakukan dengan lebih efisien.

Teknologi oleh NASA

Kami pasti teknologi ini amat asing di Malaysia, apatah lagi dalam industri bola sepak. JDT mungkin satu-satunya kelab di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi ini pada hari ini.

Hanya dengan sepasang cermin mata, anda kini sudah boleh mengesan bahagian permukaan rumput yang rosak beberapa hari lebih awal sebelum masalah sebenar timbul di bahagian permukaan.

Kredit: JST

Dengan mengesan permukaan rumput yang mengalami masalah lebih awal, anda boleh menjimatkan lebih banyak masa dan sudah tentu kos baik pulih yang lebih awal.

Di dalam bola sepak, memastikan permukaan padang sentiasa berada di dalam keadaan optimum untuk digunakan akan membantu pemain daripada mengalami kecederaan.

Ia juga membantu kelab jimat dari segi kos selenggara. Bayangkan ada sebahagian rumput di padang yang rosak dan dikenalpasti lebih awal sebelum masalah tersebut menjadi lebih parah.

Anda hanya perlu melakukan siraman untuk menyuburkan kembali permukaan tersebut, dan tidak perlu menukar bahagian yang rosak.

Antara model yang ada di dalam pasaran.

Menukar bahagian yang rosak akan mengambil masa untuk membenarkan permukaan padang pulih sepenuhnya. Ia juga sudah pasti melibatkan kos yang lebih tinggi.

Tekonlogi ‘Turf-Tec Stress Detection Glasses’ sebenarnya dibangunkan oleh saintis NASA.

Pada mulanya ia bertujuan untuk membantu saintis terbang di kawasan perhutanan yang memiliki pelbagai jenis pokok seperto Pine, Birch, Elm dan Maple, dan mengesan penyakit dan serangga perosak yang hadir dengan cepat dari udara.

Cermin mata tersebut bukan sahaja akan menunjukkan pokok mana yang mempunyai penyakit, malah turut mampu mengesan sebarang jenis pencemaran dan mutasi tumbuhan.

Ia berkesan digunakan pada tumbuhan atau pokok yang tumbuh secara banyak. Kerana itulah ia juga amat sesuai untuk digunakan dalam pemantauan keadaan padang.

Teknologi di sebalik ‘Turf-Tec Stress Detection Glasses.’

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita lakukan sedikit ulangkaji mengenai tumbuhan terlebih dahulu.

Seperti yang kita semua pernah pelajari di zaman sekolah dahulu, klorofil atau zat hijau merupakan pigmen fotosintesis yang boleh dijumpai dalam kebanyakan tumbuhan.

Klorofil berfungsi untuk menukarkan tenaga cahaya matahari kepada makanan pada tumbuhan dalam proses yang dikenali sebagai fotosintesis. Klorofil yang berbentuk merupakan bintil berpigment hijau dikenali sebagai kloroplas.

Ini bermakna jika tumbuhan itu kaya dengan kloroplas, maka ia akan mempunyai banyak pigmen berwarna hijau, dan sebaliknya jika tumbuhan itu tidak sihat.

‘Turf-Tec Stress Detection Glasses.’ adalah kaca mata yang direka oleh NASA untuk menyekat penglihatan warna hijau dan meningkatkan penglihatan warna lain.

Ini bermakna melalui kaca mata ini, tiada warna hijau sepertimana penglihatan mata kasar akan dilihat jika anda menggunakannya.

Sebaliknya tumbuhan/pokok/rumput yang mempunyai masalah akan diwarnakan dengan warna yang lebih terang.

Ini akan memudahkan anda untuk mengesan bahagian rumput mana yang akan memberikan masalah.

Menurut carian kami, teknologi ini membenarkan anda mengesan kerosakan pada permukaan tumbuhan dan rumput sekitar 2 sehingga 10 hari lebih awal.

Rumusan

JDT sememangnya sebuah kelab bola sepak yang pantas mengorak langkah ke hadapan, baik di dalam dan juga di luar padang.

Kali ini ‘Turf-Tec Stress Detection Glasses’ turut diperkenalkan sebagai antara teknologi yang diguna pakai di kelab selatan tanah air itu.

Seperti yang dijelaskan tadi, penggunaan teknologi ini akan memudahkan ‘groundsman’ melakukan pemantauan kepada kualiti padang, selain daripada menjimatkan kos.

Ini menjadikan ia sebagai salah satu lagi langkah dan pelaburan bijak dari JDT.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

Leave a Reply