Tarik Diri Ke Moscow, Skuad Olimpik 1980 Diterbangkan Ke Eropah Sebagai Ganti

Kerjasama Semuanya BOLA

Malaysia Korea Selatan Kelayakan Sukan Olimpik 1980

Selepas kerajaan memutuskan untuk menarik diri menyertai Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan, skuad bola sepak negara telah dibawa untuk menjelajah ke Eropah sebagai ganti.

Mungkin untuk mengubat duka para pemain yang telah bersungguh-sungguh di pusingan kelayakan sehingga meraih satu daripada tiga slot automatik apabila berhasil menewaskan Korea Selatan 2-1 di pusingan playoff, Kumpulan 2.

Ya, dalam perlawanan inilah terhasilnya video jaringan James Wong yang amat popular dengan ulasan pengulas perlawanan, Zulkarnain Hassan iaitu, “Cucuk Hassan Cucuk” yang berkesudahan dengan jaringan kemenangan Malaysia.

Kesebelasan utama skuad negara pada malam tersebut dibarisi oleh; R. Arumugam, Jamal Nasir Ismail, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah, Bakri Ibni, Shukor Salleh, Khalid Ali, Abdullah Ali, Hassan Sani dan James Wong.

Malaysia membuka tirai jaringan menerusi pemain sensasi Perlis ketika itu, Bakri Ibni pada minit ke-12, sebelum Kim Kang-nam menghasilkan jaringan penyamaan pada minit ke-58. James Wong muncul wira negara menerusi jaringan di minit ke-85.

Menurut Bakri Ibni yang bercakap kepada Muzium Sukan, selepas menarik diri daripada kejohanan tersebut dan tempat mereka diambil oleh Iraq, skuad negara telah dibawa untuk menjelajah antaranya ke New York, Switzerland dan Jerman.

Skuad kendalian Karl-Heinz Weigang itu telah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan di luar negara dan antara yang diingati oleh ‘poster boy’ Perlis di era 70-an dan 80-an itu adalah menentang kelab amatur di Frankfurt, Jerman.

“Yang paling menarik ialah ketika di Jerman. Weigang telah mengaturkan perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab amatur di Frankfurt yang mana kami menang 11-0,” ceritanya mengenai pengalaman mereka kepada Muzium Sukan.

“Weigang mencabar kami, kalau boleh menang dengan jurang 11 gol, dia akan belanja kami makan di luar. Sebaik mendahului 9-0, kesebelasan utama kami dikeluarkan dan digantikan dengan pemain lebih junior seperti Wan Jamak Hassan.

“Jumlah jaringan masih tidak berubah dan entah kenapa, Weigang memasukkan semula Chin Aun untuk bermain sebagai penyerang. Ternyata Tauke memang unggul dan hebat, dia tambah dua gol untuk menjadikan kedudukan 11-0,” ujarnya.

“Di Zurich, kami telah bertemu kelab profesional Liga Switzerland, Grasshoppers FC. Menyangka kami mudah diratah, akhirnya mereka silap selepas kami berjaya mendahului 2-0. Perlawanan berkesudahan 2-2,” tambahnya lagi.

Ia kini merupakan sejarah pahit buat kesemua barisan pemain negara yang terlibat dek kerana penarikkan diri tersebut. Sehingga kini, skuad negara masih belum berjaya untuk melakukan apa yang telah dilakukan oleh mereka pada malam tersebut.

KREDIT FEATURED IMAGE: CH LOH/THE STAR ARCHIVES

Baca lagi artikel kami mengenai Sukan Olimpik dan Harimau Malaya:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply