Tanpa Saya, Tiada Siapa Mahu Akan Ingat MLS – Ibrahimovic

Pasukan Zlatan Ibrahimovic, Los Angeles Galaxy tewas kepada Los Angeles FC dalam perlawanan playoff Major League Soccer (MLS) yang berkemungkinan besar menjadi perlawanan terakhir buat pemain Sweden itu di saingan MLS.

Ibrahimovic menjaringkan dua gol tetapi tidak mampu membantu pasukannya mara ke peringkat separuh akhir selepas tewas 5-3. Kontrak pemain berusia 38 tahun itu akan berakhir pada Disember ini.

Bekas penyerang Arsenal, Carlos Vela meneruskan momentum cemerlangnya musim ini dengan meledak dua gol pada separuh masa pertama dan turut menyumbang kepada gol Diego Rossi pada separuh masa kedua. Ianya menjadikan Vela telah mengumpul 36 gol untuk LA FC pada musim ini.

LA Galaxy cuba untuk bangkit menerusi Ibrahimovic, tetapi dua gol oleh Adama Diomende pada lewat permainan mengesahkan kemenangan LA FC. Ini adalah kali pertama pertembungan El Trafico menyaksikan LA FC berjaya menewaskan LA Galaxy.

Derbi dua kelab Los Angeles ini diberi nama El Trafico disebabkan keadaan trafik yang sangat teruk di bandaraya Los Angeles.

“Hasil segala usaha keras selama ini, kami berjaya melakukannya. Ini adalah saat yang begitu berharga,” ujar Vela kepada ESPN.

“Kami mahu menjadi pasukan terbaik dalam musim terbaik kami dalam sejarah. Untuk mencapai sasaran itu, kami memerlukan maksimum komitmen dan inspirasi.”

LA FC akan berentap dengan Seattle Sounders bagi merebut tempat di perlawanan akhir. Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Atlanta United akan berdepan Toronto.

“Jika saya kekal di sini, ianya baik untk MLS kerana seluruh dunia akan terus menonton,” kata Ibrahimovic yang telah dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah.

“Jika saya tidak kekal, tiada siapa lagi yang akan ingat apa itu MLS.”

Ketika ditanya mengenai insiden beliau memegang kemaluan dan menunjukkan kepada penyokong semasa sedang berjalan keluar dari padang, Zlatan menjelaskan penyokong berkenaan mengatakan sesuatu yang membuatkan beliau berang.

“Mereka mengatakan sesuatu. Saya merasakan tidak dihormati. Tetapi tak mengapa, saya anggap ianya sekadar latihan kepada saya.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram