4 Bulan Tanpa Rufino Segovia, Siapa Akan Jadi Taruhan Gergasi Merah?

rufino segovia

Pastinya ia satu berita yang kurang enak untuk didengar oleh penyokong Selangor apabila penyerang utama, Rufino Segovia diumumkan terpaksa berehat selama 4 bulan akibat kecederaan. Untuk rekod, Rufino telah meledak 3 gol dalam 6 penampilan.

Dalam aksi ke-6 Liga Super tempohari, dia hanya sempat beraksi selama hampir 30 minit sebelum dikeluarkan oleh pengendali Selangor, B. Satianathan. Sedikit melegakan, mereka masih berjaya meraih kemenangan walaupun beraksi tanpanya.

Kemenangan pertama yang diburu sudah berjaya diperolehi namun, Gergasi Merah kini terpaksa melupakan khidmat pemenang kasut emas musim lalu itu untuk satu jangka masa yang lama. Siapa pula yang akan menjadi sandaran Satianathan?

Senarai penjaring gol Gergasi Merah

Sehingga enam perlawanan, 8 gol sudah dihasilkan oleh Selangor. Walaupun dia adalah penjaring terbanyak pasukan, namun bukan Rufino sahaja yang menjadi sandaran untuk memburu gol. Berikut adalah senarai penjaring gol buat Gergasi Merah setakat ini:

  • Rufino Segovia: 3 gol
  • Antonio German: 1 gol (Telah dilepaskan)
  • Endrick dos Santos: 1 gol
  • Sandro da Silva: 1 gol
  • Syazwan Zainon: 1 gol
  • Amri Yahyah: 1 gol

Kemenangan ke atas Kuala Lumpur merupakan aksi pertama yang menyaksikan Selangor meledak lebih daripada 1 gol selain satu lagi perlawanan iaitu ketika tewas 2-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu dalam aksi minggu ke-5 liga.

Selangor juga tampil dengan aksi lebih baik dalam 3 perlawanan terakhir ini. Satianathan pasti sudah boleh menarik nafas lega dan menurutnya, dengan liga yang akan berehat lebih 2 minggu, dia miliki masa yang cukup untuk memperbaiki kelemahan.

Pastinya aspek penyudah dan juga misi mencari pengganti yang sesuai kepada Rufino akan menjadi salah satu fokus pengendali berpengalaman ini. Persoalannya kini, siapakah pemain tersebut?

Senarai peledak yang Selangor miliki

Melihatkan pemain yang telahpun didaftarkan oleh Gergasi Merah, Satianathan dilihat kekurangan peledak di dalam senarainya. Siapa yang Selangor miliki selain Rufino di jentera serangan ketika ini?

  • Amri Yahyah: 1 penampilan (3 subs) – 1 gol
  • Khyril Muhymeen: 0 penampilan
  • Sandro da Silva: 2 penampilan – 1 gol
  • Sean Selvaraj: 6 subs – 0 gol

Selepas perkhabaran mengenai status kecederaan Rufino, Selangor turut memaklumkan bahawa penyerang yang dibawa masuk di penghujung jendela perpindahan, Kyril Muhymeen turut dilanda kecederaan – 2 gol telah dijaringkannya bersama Perlis.

Satianathan kini hanya tinggal 3 pilihan pemain sahaja untuk menghidupkan jentera serangan. Pemain manakah yang sesuai dengan gaya permainan, taktikal dan formasi Gergasi Merah?

Taktikal Selangor

Untuk 6 perlawanan setakat ini, Selangor menggunakan formasi 4-2-3-1 dan juga 4-3-3 dengan sandaran pemburu gol diletakkan di bahu Rufino dan dibantu oleh samaada Antonio atau Amri Yahyah. Sandro adalah pemain gantian terus buat Antonio kemudian.

Dua pemain tengah yang wajib bermain adalah Halim Saari dan Endrick sementara pemain sayap menyerang pastinya Faiz Nasir dan Syazwan Zainon – semua 6 penampilan kecuali Syazwan.

Ini menjadikan dua penyerang akan berada di jentera hadapan. Jika dilihat dalam aksi sebelum ini Rufino akan dibantu oleh Antonio. Dalam aksi minggu lalu, Rufino digandingkan bersama Sandro.

Semua telah sedia maklum, Sandro boleh berfungsi sebagai pemain tengah menyerang ataupun penyerang. Pengalamannya di Liga Malaysia membantunya untuk lebih cepat menyesuaikan diri.

Ketika menentang Kuala Lumpur, Satianathan telah meletakkan Sandro di belakang Rufino dengan formasi 4-4-1-1. Kemasukkan Sandro telah dan bakal mengubah bentuk formasi taktikal yang digunapakai oleh Selangor sebelum ini.

Siapa peledak yang sesuai?

Amri Yahya adalah pilihan utama dan Sandro boleh menjadi penyerang kedua dibelakangnya. Usia bukan penghalang kerana pemain ini kaya pengalaman dan merupakan antara pemain yang memiliki penampilan terbanyak musim lalu – 33 penampilan.

Sandro diketahui mampu menjadi penyerang utama juga kerana ketika di Kedah sebelum ini, dia pernah bekerja secara ‘sambilan’ di posisi tersebut dan meledak banyak gol buat Helang Merah – 25 gol dalam hampir 58 penampilan dalam 4 musim.

Jika mahukan kelainan, Sean Selvaraj adalah pilihan yang menarik serta boleh diterokai oleh Satianathan. 4 gol telah diledak oleh pemain berusia 22 tahun itu dalam aksi pra musim – namun masih belum tampil dalam kesebelasan utama pasukan sehingga kini.

Siapa pilihan Satianathan untuk perlawanan seterusnya pada hujung bulan nanti? Pengalaman Amri Yahya dan Sandro ataupun pertaruhkan Sean Selvaraj buat pertama kalinya dalam kesebelasan utama dengan dibantu oleh Sandro ataupun Amri Yahya?

Penutup

Siapa yang menjadi pilihan Satianathan, penyerang tersebut wajar mengambil tanggungjawab untuk meledak gol dan bukan hanya menjadi penumpang di dalam pasukan. Selangor sudah menemui rentak dan diharapkan kecederaan Rufino tidak merencatkannya.

Jadual liga juga tampak tidak memihak kepada mereka dengan dijadualkan bakal bersemuka dengan Terengganu FC, Melaka United dan kemudiannya musuh tradisi, Perak.

Pada pandangan pembaca, siapakah pemain yang Satianathan boleh pertaruhkan untuk jentera serangan Selangor?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN