Tangan Son Heung-min Retak, Perlu Jalani Pembedahan

Entah apa ‘bala’ yang melanda kem Tottenham Hotspur ketika ini apabila perkhabaran terbaharu menyaksikan penyerangnya Son Heung-min perlu menjalani pembedahan pada minggu ini selepas disahkan mengalami keretakan pada tulang tangan kanannya.

Pemain antarbangsa Korea Selatan itu mendapat kecederaan tersebut ketika beraksi menentang Aston Villa tempoh hari dan kenyataan pihak kelab mengatakan beliau djangka akan direhatkan untuk tempoh ‘beberapa minggu’.

“Berikutan pembedahan berkenaan, pasukan staf perubatan kami akan membuat penilaian dan menyediakan pelan pemulihan Son. Pemain tersebut dijangkan akan diketepikan untuk tempoh beberapa minggu,” kata pihak kelab dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam laman webnya.

Dengan ketiadaan penyerang utama, Harry Kane yang cedera untuk jangka masa panjang, penyerang berusia 27 tahun itu menjadi sandaran utama pasukan dan telah menjaringkan dua gol ketika pasukannya menang 3-2 dalam perlawanan berdepan Aston Villa tersebut.

Beliau telah menjaringkan sembilan gol dan mencatatkan tujuh bantuan jaringan dalam saingan liga pada musim ini.

Kecederaan tersebut memberi maksud beliau akan terlepas perlawanan penting berdepan RB Leipzig dalam perlawanan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Rabu dan juga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea pada Sabtu.

Pengurus Spurs, Jose Mourinho kini terpaksa bergantung kepada penyerang Brazil, Lucas Moura serta penyerang berusia 18 tahun, Troy Parrott. Namun Mourinho sebelum ini secara terbuka mengatakan penyerang muda Ireland itu masih belum bersedia untuk menjadi penggempur utama pasukan.

Mereka juga baru sahaja membawa masuk pemain Belanda, Steven Bergwin pada bulan lepas.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram