Quantcast

BERITA

Tan Cheng Hoe Puji Dan Tagih Sentuhan Konsisten Syafiq Ahmad Di Hanoi

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menghamburkan pujian buat wira hatrik ketika membenam Sri Lanka 6-0 dalam aksi persahabatan antabangsa, Syafiq Ahmad dan mengharapkan aksi yang sama akan ditampilkannya ketika berkunjung ke Hanoi nanti.

Syafiq Ahmad cemerlang meledak hatrik pada minit ke-9, ke-76  dan ke-89 sementara tiga lagi gol masing-masing dijaringkan oleh pertahanan, Shahrul Saad (14′), Norshahrul Idlan Talaha (17′) dan pemain sayap muda negara, Akhyar Rashid pada minit ke-51.

Penyerang berusia 24 tahun itu telah memanfaatkan peluang yang diberikan dalam beberapa perlawanan setakat ini dengan aksi yang cemerlang disamping kombinasi baik bersama rakan sepasukan.

“Setakat ini, Muhammad Syafiq [Ahmad] telah bermain dalam tiga ke empat perlawanan dan permainan beliau semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” ujar Tan Cheng Hoe dalam sidang media yang dipetik daripada Astro Awani.

“Saya berharap beliau dapat kekal konsisten dan dapat menjaringkan gol apabila kita memerlukan jaringan dalam perlawanan selepas ini,” tambahnya lagi kepada media.

Selepas ini, Malaysia akan berkunjung ke Hanoi untuk aksi ketiga Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 untuk berdepan Vietnam di Stadium Mydinh, pada Khamis depan.

Dalam aksi malam tadi, Harimau Malaya langsung tidak memberi peluang buat Singa Emas apabila mengasak sejak awal permainan sehinggalah ke wisel penamat dengan hanya satu percubaan tepat mampu dicipta oleh Sri Lanka menerusi Dilip Kurukulasuriyage.

Selebihnya, Sri Lanka hanya mampu melihat gawang mereka digegar dan asakan yang cuba diatur akhirnya gagal disudahkan dengan percubaan ke gawang yang dikawal Farizal Marlias.

Hatrik Syafiq Ahmad ini juga menjadikannya pemain ketiga negara selepas Shaharuddin Abdullah pada tahun 1972 dan Hazwan Bakri (2012) yang berjaya meledak hatrik dalam pertemuan kedua-dua pasukan tersebut di Malaysia. Selain itu, ini merupakan jaringan kelapannya dalam 15 penampilannya bersama Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Tan Cheng Hoe turut mengumumkan tiga pemain yang digugurkan daripada skuad kebangsaan iaitu J. Partiban, Shahrel Fikri dan Nor Azam Azih akibat masalah kecederaan – ketiga-tiganya tidak berada dalam skuad malam tadi.

Menurut pengendali berusia 51 tahun itu, beliau yakin pemain-pemain yang ada mampu menampung kehilangan tiga pemain tersebut selepas aksi meyakinkan pada malam tadi.

Kredit Featured Image: FAM