Tan Cheng Hoe Panggil 24 Pemain Untuk Mewakili Skuad Harimau Malaya Menentang Fiji

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan 24 pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 1 Julai 2018 bagi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang dijadualkan pada 5 Julai ini.

Menurut senarai itu, hanya 11 pemain daripada skuad 23 pemain yang dipanggil ketika perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon di Beirut pada 27 Mac 2018 dan perlawanan persahabatan bertemu Bhutan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 1 April 2018 telah dikekalkan.

Senarai pemain skuad Harimau Malaya seperti diumumkan oleh FAM.

Beberapa pemain lagi tidak dipanggil untuk aksi bertemu Fiji ini kerana terlibat dengan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2018 pada 30 Jun (PKNS FC lwn Selangor) dan 1 Julai (PKNP FC lwn Pahang) serta kemungkinan mara ke final Piala FA 2018 pada 7 Julai iaitu tiga pemain PKNS FC – penjaga gol Shahril Sa’ari, Mahalli Jasuli dan Jafri Firdaus Chew; dua pemain Pahang – Matthew Davies dan R Kogileswaran serta pemain PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi dan pemain Selangor, Syahmi Safari.

Pemain muda, Akhyar Rashid, 19, dari Kedah pula tidak dipanggil kerana menyertai skuad B-19 kebangsaan kendalian Bojan Hodak ke Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Surabaya, Indonesia bermula 3 Julai ini.

Sementara empat lagi pemain telah digugurkan daripada panggilan kali ini iaitu dua pemain Kedah – Ariff Farhan Md Isa dan Syawal Nordin serta dua pemain Perak, Nor Hakim Hassan dan Syazwan Zaipol Bahari.

Lapan pemain baharu yang tidak disenaraikan pada panggilan Mac lalu iaitu tiga pemain Kedah penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim, Syazwan Zainon dan Rizal Ghazali, dua pemain Perak, Nasir Basharudin dan Amirul Azhan Aznan serta Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT), N Thanabalan (Negeri Sembilan) dan Danial Ashraf Abdullah (Kelantan).

Kesebelasan utama skuad Harimau Malaya ketika menentang Mongolia bulan Mac lalu. FOTO: FAM

Selepas aksi bertemu Fiji ini, skuad Harimau Malaya bakal menghadapi lima lagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” iaitu bertemu Chinese Taipei di Taipei pada 7 September 2018, bertemu Kemboja di Phnom Penh pada 11 September 2018, bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober serta bertemu Republik Kyrgyz dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil, masing-masing pada 16 Oktober 2018 dan 3 November 2018.

Kesemua perlawanan ini merupakan persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember 2018 yang mana Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply