Tan Cheng Hoe Beri Bayangan Mahu Baiki Beberapa Isu, Azzizan Nordin Bakal Diturunkan

Berdepan Sri Lanka dalam aksi persahabatan pada malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil, adalah persediaan penting skuad negara bagi berdepan Vietnam dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 10 September depan di Hanoi.

Menurut pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, dipetik berkata kepada The Star, aksi pemanas badan ini akan cuba dimanfaatkan memperbaiki isu yang dikesan dalam dua aksi sebelum ini iaitu sentuhan jaringan dan kelonggaran benteng.

“Perlawanan dengan Sri Lanka akan membantu kita membaiki beberapa masalah sebelum berdepan Vietnam. Kita perlu baiki jentera serangan, kerana kita telah cipta banyak peluang.

“Pertahanan kita juga perlu bangkit, kita telah melepaskan lima gol dalam tiga perlawanan, ia statistik yang tidak baik,” ujar Tan Cheng Hoe mengenai isu-isu sebelum berdepan Vietnam nanti.

Mengenai beberapa pemain yang sedang mengalami kecederaan, pengendali berusia 51 tahun itu tidak panik malah melihat ianya peluang buat pemain-pemain di bangku simpanan tampil ke depan membuktikan kemampuan masing-masing.

“Saya perlu mencari alternatif dan pilihan lain untuk [gantikan] pemain kita yang cedera. Ini adalah peluang terbaik kepada pemain bukan pilihan utama buktikan kemampuan mereka.

“Saya perlu beri ruang kepada semua untuk buktikan kemampuan mereka, mereka juga tahu bagaimana kita bermain. Saya selalu katakan, jangan tertekan jika anda bukan pilihan utama, apa yang penting, jika diturunkan, berikan yang terbaik,” jelasnya lagi.

Bercakap mengenai penyerang, Shahrel Fikri yang baru mengalami kecederaan dalam sesi latihan kelmarin, Tan Cheng Hoe berkata kecederaan pemain Perak itu masih dalam pemantauan samaada boleh bermain ketika berdepan Sri Lanka atau sebaliknya.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Tan Cheng Hoe dipetik berkata akan menguji beberapa pemain yang jarang beraksi. Ini mungkin akan menyaksikan rombakan kecil dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang pasukan kedudukan ke-202 dunia.

“Dua pemain itu [Khairulazhan Khalid dan Azzizan Nordin] sudah pernah bersama pasukan kebangsaan dan saya rasa tiada masalah buat mereka [menyesuaikan diri]. Cuma kita kena beri peluang bermain terutama kepada Azzizan,” ujarnya.

Kredit Featured Image: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram