Tampal Bendera Negara Atas Logo Nike Akibat Tak Dibayar

Jika ada yang perasan dalam saingan Copa America 2021 yang lepas, pasukan kebangsaan Chile telah menggantikan logo jenama Nike dengan bendera negara mereka yang dinamakan La Estrella Solitaria (the Lone Star). Barisan jurulatih dan pegawai atas padang pula dilihat meletakkan pita pelekat bagi menyembunyikan logo Nike yang disulam pada baju serta seluar mereka. Dikhabarkan juga stokin sesetengah pemain sengaja diterbalikkan supaya lambang ‘swoosh’ tidak kelihatan. Tindak protes ini berikutan isu pelanggaran kontrak tajaan antara jenama sukan terkemuka itu dengan persatuan bolasepak kebangsaan Chile, Asociación Nacional de Fútbol Profesional. (ANFP)

Media Chile melaporkan bahawa ANFP telah membuat tuntutan sebanyak 4.2 billion peso (5.6 juta USD) daripada Nike Chile atas pembayaran lewat jadual. Walaubagaimanapun, wakil-wakil Nike Chile enggan bertanggungjawab, malah menegaskan bahawa kontrak Nike bersama ANFP sebaliknya ditandatangani oleh ibu syarikat mereka, Nike European Operations Netherlands BV.

Menurut laporan media Chile, ANFP mendakwa bahawa Nike telah menamatkan perjanjian bernilai jutaan dollar itu pada awal bulan Jun tanpa sebarang notis. Malah, Nike juga didakwa enggan melepaskan hasil kutipan jualan ‘merchandise’ kepada ANFP kerana pasukan kebangsaan Chile, sepanjang tempoh Julai 2019 hingga Julai 2020, gagal mencapai jumlah minimum perlawanan antarabangsa yang ditetapkan dalam kontrak, iaitu sekurang-kurangnya 10 perlawanan setahun.

Dalam tempoh setahun tersebut, mereka terpaksa akur kepada pelbagai rintangan yang sememangnya di luar kawalan mereka. Penghujung Oktober 2019 menyaksikan berlakunya demonstrasi ganas besar-besaran di Santiago, ibu negara Chile, susulan ketegangan krisis politik dimana lebih sejuta penduduk telah turun ke jalanan dalam mendesak Presiden Sebastián Piñera meletak jawatan. Tidak cukup dengan kemelut politik, dunia pula dilanda wabak Covid-19. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga.

Perjanjian asal antara Nike dan ANFP selama 8 tahun yang bernilai lebih kurang $56 juta USD ($7 juta setahun) bermula pada tahun 2016 dan sepatutnya berlanjutan hingga aksi Piala Dunia 2022 di Qatar.

Namun, ini bukanlah kali pertama pasukan kebangsaan Chile dilanda kerumitan mengenai tajaan jersi. Pada tahun 2007, apabila La Roja dan jenama Brooks (syarikat peralatan sukan dari Amerika Syarikat) gagal mencapai kata putus, mereka telah turun beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Brazil & Costa Rica memakai jersi buatan tempatan tanpa sebarang penaja.

Sepanjang Copa America 2021, perkara ini turut dilakukan ke atas jersi ‘away’ mereka. Jersi rasmi hanya dipakai sekali sahaja iaitu dalam perlawanan pembukaan menentang Argentina.

Memandangkan isu ini belum selesai, difahamkan pasukan bolasepak Olimpik Wanita telah pun mengikut langkah sama di Jepun.

Pihak ANFP dan Nike kini terlibat dalam prosiding mahkamah sejak bulan Mac tahun ini.

Setiap kontrak pasti ada klausa, syarat mahupun sasaran yang harus direalisasikan. Contohnya, pada tahun 2012, jauh sebelum kehadiran Klopp & gegenpressing-nya, prestasi Liverpool yang hambar dalam menamatkan musim di tangga kelapan menyebabkan Adidas tidak yakin untuk membaharui dan melanjutkan kontrak tajaan £12 juta semusim buat enam tahun itu. Rentetan itu, anak syarikat New Balance iaitu jenama Warrior muncul sebagai pengganti.

 

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply