Tammy Abraham Menyerlah Pada Penampilan Pertama Bersama AS Roma

Penyerang baharu AS Roma, Tammy Abraham memberikan kualiti persembahan yang memukau dalam aksi pertamanya di Serie A.

Berhijrah selepas tidak lagi diperlukan Thomas Tuchel, Abraham yang menyertai Jose Mourinho terus diturunkan sebaik sahaja tiba di Stadio Olimpico dalam perlawanan menentang Fiorentina.

Nyata keputusan yang dibuat oleh Mourinho jelas berhasil apabila Abraham berjaya memberikan persembahan berkualiti sepanjang diturunkan.

Abraham mencatatkan dua bantuan gol dalam kemenangan 3-1 Roma di laman sendiri.

Gol pertama Roma terhasil menerusi hantaran Abraham yang berjaya menemui Henrikh Mkhitaryan namun gol itu dibatalkan pengadil.

Namun selepas merujuk kepada Video Assistant Referee (VAR), gol itu sah dan Roma mendahului.

Separuh masa kedua, Abraham mencipta satu lagi bantuan gol apabila hantaran lintangnya menemui Jordan Veretout.

Gol itu sekali lagi dibatalkan pengadil tetapi VAR kemudiannya mengesahkan jaringan tersebut.

Abraham juga memperoleh peluang untuk menjaringkan gol menerusi tandukan tetapi ianya terkena palang.

Pemain England itu kemudiannya menerima tepukan gemuruh dari penyokong Roma semasa ditukarkan dengan Eldor Shomurodov selepas persembahan yang cukup memukau di aksi pertamanya itu.

Mourinho jelas sekali cukup berpuas hati dengan persembahan Abraham itu walaupun pemain itu tidak menyertai sesi pra-musim bersama mereka – sama juga boleh dikatakan dengan Shomurodov.

“Kedua-dua pemain tidak menyertai sesi pra-musim dari hari pertama, jadi saya memilih untuk menggunakan Lorenzo Pellegrini di belakang [penyerang].”

“Shomurodov sangat bahaya apabila menyerang ruang kosong sementara Abraham lebih kepada titik rujukan serangan. Kami ada pelbagai pilihan.”

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply