‘Taktikal Tak Penting Dalam Champions League’

Jeneral tengah Manchester City, Kevin de Bruyne menegaskan pasukannya perlu belajar daripada kekalahan suku akhir UEFA Champions League buat kali ketiga berturut-turut.

“Tiap-tiap tahun benda sama sahaja berlaku,” kata de Bruyne kepada BT Sport selepas perlawanan.

“Pada separuh masa pertama, persembahan kami langsung tak boleh diterima. Pada separuh masa kedua, kamu bermain dengan baik dan memberi tekanan kepada mereka [Lyon],” kata de Bruyne.

“Kami kena jadi lebih ofensif. Lyon tak adalah mencipta banyak pun peluang tapi mereka mengambil semua peluang mereka. Kami kena belajar.”

Embed from Getty Images

Moussa Dembele menjaringkan dua gol dari bangku simpanan untuk membantu Lyon menumbangkan City 3-1. Mereka akan bertemu wakil Jerman, Bayern Munich dalam aksi separuh akhir minggu depan.

Kekalahan ini juga bermakna City yang mengakhiri Premier League di tangga kedua, menamatkan musim dengan hanya EFL Cup sebagai trofi pada musim 2019/2020.

Sebelum ini City pernah kalah kepada AS Monaco pada peringkat pusingan 16 dan Tottenham Hotspur pada peringkat suku akhir Champions League.

‘Taktikal tak penting’

Sementara itu pengurus Manchester City Pep Guardiola dipersalahkan oleh banyak peminat dan penganalisis kerana menerapkan taktikal berbeza-beza dalam perlawanan besar Champions League.

City yang biasanya bermain dalam formasi 4-3-3, bertukar kepada formasi 3-5-2 dengan Eric Garcia menggantikan pemain tengah kreatif Phil Foden yang menewaskan Real Madrid.

Bagaimanapun Guardiola, yang menjuarai dua gelaran Champions League dengan Barcelona pada tahun 2009 dan 2011, menegaskan dalam Champions League, taktikal tak penting.

“Kami dah berlatih dalam sistem taktikal ini selama tiga hari. Kami dah bincang dan kaji. Kami bermain dengan baik. Taktikal bukannya masalah di sini. Saya tahu bagaimana taktikal ini berfungsi. Saya tahu kenapa taktikal ini dipilih.

“Kami akan mula dan cuba semula [untuk memenangi Champions League]. Ketika ini saya tak berkesempatan lagi nak melepasi halangan suku akhir.

“Berdasarkan persembahan pemain, saya rasa kami dah layak untuk ke separuh akhir. Tapi apakan daya. Dalam kehidupan, kita kena bangkit semula selepas jatuh dan kami akan bangkit semula.

Ketika diminta mengulas insiden Dembele yang menjatuhkan Aymeric Laporte sebelum penyerang Lyon itu menjaringkan gol kedua, Guardiola berkata beliau enggan menyalahkan VAR.

“Benda ini dah berlaku banyak kali dalam Champions League. Saya tak nak cakap lagi pasal isu ini kerana ia akan nampak macam saya cari alasan.

Mengulas mengenai penyudah tumpul Sterling pula, Guardiola berkata beliau akan bercakap dengan pemain itu secara peribadi.

“Saya belum jumpa dia lagi. Saya akan bercakap dengan dia di hotel. Pemain-pemain semuanya tengah sedih lagi di bilik persalinan. Inilah bola sepak,” kata Guardiola.

Media salahkan taktikal Pep

Sementara itu susulan penyingkiran satu-satunya wakil Premier League dalam Champions League pada musim ini, media memulakan usaha ‘mencari kambing hitam’ kepada taktikal Guardiola.

“Selepas 22 minit ia tak berfungsi, agak menghairankan bila Pep hanya mengubahnya pada minit ke-66. Secara asanya, beliau telah membazirkan 60 minit aksi dalam taktikal yang salah,” kata bekas pemain Chelsea, Pat Nevin kepada BBC.

Wartawan Perancis Julien Laurens pula berkata ‘Lyon mendapat manfaat daripada taktikal gila Pep’.

“Itu kegagalan dia. Daripada mula, dia dah buat silap. Dia terlalu banyak berfikir tentang taktik dalam Champions League. Kadang-kadang ia menjadi seperti apa yang berlaku menentang Real Madrid di Bernabeu. Tapi dah banyak kali dah eksperimen taktikalnya tak menjadi.

“Ia tak menjadi ketika menentang Spurs pada musim lepas. Ia juga tak menjadi ketika menentang Monaco pada tiga tahun lepas.

“Kenapa dia tak mainkan pasukan normalnya dalam taktikal normalnya ketika menentang pasukan yang jelas lebih lemah daripada pasukan dia? Kenapa dia yang kena ubah-ubah sistem pasukannya?

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Leave a Reply