“Takkan Hari Ni Kahwin, Esok Dah Beranak” – Logik Mudah Untuk Pihak Yang Pertikai Projek NFDP

NFDP

Tidak sedikit pemegang taruh yang kecewa dan terkilan dengan kenyataan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan yang mempersoalkan mengenai sumbangan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dalam sebuah rancangan bersama Football Tribe.

Kata bekas ketua jurulatih Selangor itu, skuad kebangsaan hari ini sepatutnya sudah diwakili oleh pemain-pemain yang dilahirkan oleh projek pembangunan bola sepak negara itu, namun tidak melihat ianya berlaku.

Walaupun Pengarah Teknikal Sarawak United itu mengatakan dakwaannya itu dibuat berdasarkan ‘kajian’, namun ia segera dijawab oleh seorang pengguna Twitter tentang kesalahan ‘fakta’ yang diberikan.

“Elok Kaji Sebelum Komen”- Pengguna Twitter Tangkis 6 Dakwaan Buruk B. Satiananthan Mengenai NFDP

Salah satu pemegang taruh NFDP iatu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengambil pendirian mempertahankan program yang telah berjalan sejak 2014 itu.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar dalam temubualnya bersama Bernama menegaskan pihaknya akan terus mempertahankan program ini kerana ianya bersifat jangka masa panjang dan tidak adil untuk mempersoalkan hasilnya dalam jangka masa hanya beberapa tahun.

“Kalau ada cerita hendak tutup NFDP itu tidak benar, kita (FAM) memang sentiasa memikirkan soal pembangunan. Pembangunan ini kita tidak akan dapat (hasil) hari ini, esok kita dapat hasilnya dan jika usaha itu sesuatu yang memang bagus kita akan teruskan,” ujar Saifuddin.

“Program ini juga melibatkan banyak parti, kerajaan, MSN, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan sebagainya. Memang kita alu-alukan (program diteruskan) dan kalau kita perlu tambah baik, kita akan buat.”

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengesahkan Skuad Projek FAM-MSN yang ditubuhkan pada penghujung 2020 tidak akan dimansuhkan walaupun menamatkan kempen Liga Premier musim ini di kedudukan tercorot dengan hanya meraih satu kemenangan dari 20 perlawanan.

Pasukan itu akan menjadi platform terbaik untuk pemain-pemain yang dihasilkan oleh projek NFDP terutamanya graduan AMD untuk mendapatkan pendedahan terhadap pentas bola sepak profesional sekiranya tidak menyertai mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang lain.

“Skuad Projek FAM-MSN memang kita tubuhkan khas untuk pemain AMD. Pemain AMD ini kalau mereka berlatih sahaja tetapi tidak ada kejohanan kompetitif, mereka tidak akan ke mana. Jadi skuad ini masih akan dikekalkan.

“Dengan adanya skuad ini, kita akan ada banyak pilihan pemain dalam persediaan kita ke arah 2024. Kita menyasarkan Olimpik 2024 dengan mempunyai banyak pilihan pemain termasuk skuad Bawah 17 Tahun (B-17) dan Bawah 23 Tahun (B-23),” katanya.

Sebanyak 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden, Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah PPBN telah dikumpulkan bagi membentuk skuad perintis Skuad Projek FAM-MSN pada tahun ini.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply