Syed Saddiq Mahu Pastikan Padang SNBJ Dalam Keadaan Terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Padang

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui akan memastikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan terbaik dan berkualiti meskipun terpaksa berbelanja besar untuk tujuan naik taraf.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang kini menggunakan rumput ‘cow grass’ akan digantikan dengan ‘Zeon Zoysia’.

‘Zeon Zoysia’ adalah merupakan jenis rumput digunakan di stadium baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim yang akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Februari ini.

Selain itu, beberapa stadium di Thailand dan Stadium Nasional Singapura turut menggunakan rumput jenis ini.

Menurut sumber Berita Harian Online, kos untuk menaik taraf padang itu juga dikatakan mencecah nilai RM10 juta.

“Kita dapat maklum balas daripada pihak industri sukan dan rakan-rakan media bahawa ya, padang kita bagus tapi tidak terbaik jadi ia mesti kena ada standard tinggi dan kita ada berbincang dengan persatuan dan memuktamadkan untuk naik taraf padang.”

“Kita nak pastikan stadium yang merupakan ‘padang rumah’ bagi Harimau Malaya dalam keadaan terbaik, tahan lama walaupun kos tinggi, pelaburan berbaloi,” ujar Syed Saddiq kepada wartawan Berita Harian.

Pada 15 Ogos 2019, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memeterai perjanjian yang menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi buat skuad Harimau Malaya.

Ikatan perjanjian sehingga 31 Disember 2020 itu menyaksikan stadium tersebut akan menjadi gelanggang ‘home’ buat skuad bola sepak kebangsaan bagi mana-mana pertandingan atau kejohanan rasmi.

Perjanjian berkenaan turut boleh dilanjutkan untuk tempoh tambahan dua tahun lagi iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022, jika mencapai persetujuan bersama daripada kedua-dua belah pihak.

Kredit foto: Perbadanan Stadium Malaysia