Syarikat Automotif, Kelengkapan Pertahanan Jadi Pemilik Saham Terbesar Kedah

KFA Kedah Saham 80 peratus

Akhirnya identiti syarikat swasta yang mengambil alih 80 peratus saham milik Kedah Darul Aman (KDA) FC diumumkan iaitu Go Auto Group dan Flumen Holding.

Kedua-dua syarikat merupakan milik anak kelahiran Kedah dan mempunyai rangkaian sehingga ke luar negara. Disamping membeli saham dalam KDA FC, mereka juga bakal terlibat dalam pelaburan berimpak tinggi kepada negeri Kedah khususnya.

Pelaburan yang dimaksudkan adalah projek untuk menjadikan negeri Kedah sebagai sebuah hub pemasangan kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan yang utama di Asia Tenggara. Kedua-dua syarikat tersebut adalah antara pemain utama dalam industri kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan.

Go Auto merupakan syarikat automotif yang telah mengeluarkan pelbagai kenderaan antaranya trak, van dan kereta antaranya Haval, Borgward selain mengeluarkan bas jenama sendiri, Go Auto. Sementara Flumen Holding pula merupakan syarikat yang menyediakan khidmat dalam industri perunding keselamatan dan pertahanan.

Flumen Holding turut memiliki satu anak syarikat yang menjurus ke arah kecekapan penggunakan tenaga hijau iaitu Flumen Energy yang dijangka bekerjasama bersama Go Auto dalam membina kenderaan cekap tenaga dan teknologi hijau untuk projek ini.

Dalam sidang medianya, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor dipetik berkata gabungan kedua-dua syarikat tersebut bakal melahirkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dimeterai dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, SPV terbabit akan memegang saham majoriti KDA FC secara konsesi selama tempoh lima tahun dan dibenarkan menyambung selama lima tahun lagi tertakluk kepada perjanjian. Baki 20 peratus saham lagi akan dipegang oleh KFA.

Memetik kenyataannya dalam Berita Harian, “Pemilihan kedua-dua syarikat ini berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan pembangunan perniagaan bola sepak yang membawa nilai dan aktiviti pelaburan berimpak tinggi kepada negeri.”

“Di pihak kerajaan negeri, kita bersedia memberi laluan untuk membuat pelaburan di tanah seluas kira-kira 121 hektar di Sungai Petani bagi membawa masuk teknologi baharu khususnya kenderaan berasaskan elektrik. InsyaAllah langkah itu akan membawa peluang pekerjaan kepada lebih 8,000 orang selain membantu membuka ruang untuk kemasukan pemain industri automotif dan pertahanan terkemuka dunia.

“Dia (syarikat) membuat penawaran tadi, selepas ini kita akan arahkan KDA FC yang dimiliki MBI untuk berunding, saya ingat satu rundingan sudah cukup kerana ada pihak sudah mahu membeli saham,” tambah Muhammad Sanusi lagi mengenainya.

Beliau turut memaklumkan yang Mesyuarat EXCO telah bersetuju menjual saham bernilai RM24 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) ketika ini.

Menariknya, salah seorang ahli Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB), yang cuba membeli saham menerusi pemilikan koperasi, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman merupakan pemilik syarikat yang berjaya dalam pembidaan iaitu, Flumen Holding.

KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA

Baca lagi artikel lain mengenai Kedah Darul Aman:

Bila KFA Akan Buat Keputusan Mengenai Tawaran Koperasi Anak Kedah?

Melihat Kepada Kemungkinan ‘Perjanjian’ Pinjaman Pemain Antara Kedah, JDT

Berbaki 2 Pemain Belum Diumum, Kedah Mungkin Senarai Lebih 25 Pemain

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply