Syamer Kutty Abba Mahu Jadi ‘Klon’ Hariss Harun

Syamer Kutty Abba JDT 2020 Pra Musim 3

Pastinya ramai pemain yang mahu menjadi seperti pemain utama kelab atau pasukan yang mereka wakili, dan begitu juga dengan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba.

Syamer Kutty Abba menjelaskan yang sebagai pemain tengah, beliau banyak belajar dan memohon pandangan pemain seperti kapten, Hariss Harun dan pemain kacukan Sepanyol-Malaysia, Natxo Insa.

Kedua-dua pemain tersebut boleh dikatakan sebagai idola kepada pemain-pemain simpanan dan juga pemain-pemain muda di JDT. Dan penting untuk mereka untuk berguru dengan kedua-duanya.

“Ketika sesi latihan, saya akan belajar daripada setiap pemain. Sebagai pemain tengah, saya banyak bercakap dengan Hariss [Harun] dan Natxo [Insa]. Mereka adalah pemain berpengalaman dan kalau boleh, saya mahu jadi seperti mereka,” ujar Syamer Kutty Abba.

Bercakap mengenai persediaan pasukan menjelang sepak mula Liga Super 2020, pemain kelahiran Pulau Pinang ini menyatakan yang beliau banyak belajar ketika dalam Jelajah Pra-Musim di Dubai.

“Persediaan pasukan pada musim ini sangat bagus kerana pasukan-pasukan yang kami tentang di sini jauh lebih baik berbanding dengan apa yang ada di Malaysia. Ia satu pendedahan yang cukup baik buat pasukan dan saya banyak belajar daripada siri jelajah musim ini,” jelasnya kepada The Star.

“Kami juga bertemu dengan skuad kebangsaan [Turkmenistan], jadi ianya sangat kompetitif. Sesi pra-musim bertujuan untuk membantu kita sebagai pemain bersedia untuk saingan musim baharu tetapi dalam masa yang sama, kami semua juga dapat belajar perkara-perkara baharu.

“Dari segi taktik dan juga teknik, pra-musim kali ini akan menjadikan kami sebuah pasukan yang lebih baik,” jelasnya lagi yang merupakan pemain yang kerap bersama skuad Harimau Malaya.

Bagi Syamer Kutty Abba, beliau mahu melupakan tragedi buruk tersingkir dari Sukan SEA 2019 Filipina ketika bersama skuad B-22 negara dan berazam tahun 2020 adalah tahun yang terbaik buatnya.

“Secara peribadinya, saya tahu saya perlu tingkatkan lagi kemampuan saya untuk kekal sebagai pemain skuad kebangsaan dan JDT. Saya mahu buktikan kemampuan saya dan menidakkan semua kritikan.

“Tidak dinafikan, ia satu musim yang sangat mencabar [2019]. Kekecewaan tersebut akan menjadi pengajaran berguna dalam hidup saya,” jelas pemain berusia 23 tahun itu lagi.

Kredit Foto: JST

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply