Syahrul Azwari Taruhan Terbaharu Melaka United

Bekas pemain skuad Harimau Muda, Syahrul Azwari dilaporkan menyertai Melaka United dari Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka sejak minggu lalu.

Pengendali skuad Melaka United (MU), E Elavarasan mengesahkan perkara itu beliau bakal menurunkan bekas pemain kebangsaan itu bertemu Terengganu pada aksi Liga Super di Kuala Terengganu, malam ini.

Bercakap kepada Berita Harian, Elavarasan akan menurunkan pemain itu jika semua urusan pendaftaran Syahrul menjelang perlawanan itu selesai.

“Sama ada untuk babak kedua, 30 minit terakhir atau kurang daripada itu belum dipastikan, namun bekas pemain Sukan Sea 2011 ini akan diturunkan buat pertama kali bersama skuad Hang Tuah.

“Saya tidak bimbang dengan kemampuan dan kebolehannya menyuntik sentuhan lebih efektif buat pasukan, namun dia yang agak lama tidak beraksi mungkin sedikit membimbangkan. Apa pun peluang yang akan diberikan kepadanya diharap mampu diterjemahkan dengan positif,” katanya.

Barisan skuad Melaka United pada musim ini. FOTO: MUSA

Syahrul Azwari pernah membantu skuad bawah 23 negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011. Beliau juga mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Liga Singapura dengan skuad Harimau Muda serta memiliki kemahiran tinggi dan mampu beraksi di posisi penting, termasuk serangan.

Namun begitu, Elavarasan mahu anak buahnya berwaspada dengan pasukan Terengganu kerana sebuah pasukan yang mantap dan memiliki pemain agresif, termasuk di posisi tengah dan serangan.

Melaka United yang kini menghuni tangga ke 10 dalam kedudukan Liga Super terdesak untuk mencuri 3 mata penuh bagi mengelakkan mereka berada dalam kelompok bahaya 2 pasukan bawahan yang berpeluang tersingkir ke Liga Premier musim depan.

“Bagaimanapun, saya mengharapkan pemain akan bertindak cemerlang untuk menafikan kelebihan lawan dan pada masa sama berusaha meraih kemenangan atau pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram