Suzuki Teruskan Penajaan Piala AFF

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengesahkan Kejohanan Bola Sepak AFF edisi tahun ini akan terus menerima penajaan rasmi oleh syarikat automotif, Suzuki Motor Corporation.

Suzuki telah menjadi penaja utama sejak 2008 menggantikan syarikat perusahaan minuman keras dari Thailand, Tiger. Edisi Piala AFF Suzuki pada tahun ini dijadualkan berlangsung pada November hingga Disember tahun ini.

“Suzuki menyambut ulangtahun ke-100 pada tahun ini dan kami tetap menghargai hubungan baik dengan wilayah ASEAN sejak 90 tahun lalu,” kata Kinji Saito, Ketua Pegawai Pengurusan Suzuki Motor Corporation.

“Sebagai sebuah syarikat yang sentiasa menyasarkan untuk memberikan kemeriahan kepada kejohanan ini, adalah satu penghormatan untuk berkongsi impian bersama semua penyokong melalui penajaan Piala AFF Suzuki.” 

Menurut Kinji, penganjuaran Piala AFF Suzuki semakin meriah dan bertambah baik dari edisi ke edisi dan berjaya menambat hati para peminat setiap negara seluruh rantau Asia Tenggara.

“Kami menikmati hubungan kerja yang hebat dengan mereka dan kami ingin meneruskan perkongsian ini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya lagi.

Pada edisi 2018, skuad Harimau Malaysia mara hingga ke perlawanan akhir tetapi tewas tipis kepada Vietnam 3-2 secara agregat. Setakat ini Malaysia hanya pernah menjuarai kejohanan ini sekali sahaja pada 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal.

Thailand masih mengekalkan rekod sebagai pasukan paling banyak menjuarai kejohanan itu (5 kali) pada tahun 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016. Singapura pula sebanyak 4 kali iaitu pada 1998, 2004, 2007 dan 2012.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Piala AFF Suzuki:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram