‘Susah Nak Ganti Shakir Shaari’ – Badhri Radzi Akui Tiada Pemain Setaranya

Shakir Shaari Kelantan

Lagenda hidup Kelantan, Badhri Radzi dipetik berkata yang sehingga kini di Kelantan, masih belum ada pemain yang mampu menggantikan peranan seperti Shakir Shaari.

Badhri Radzi atau lebih mesra disapa Piya itu yang ditemuramah oleh VocketFC turut menjelaskan betapa kehadiran Shakir Shaari telah membantunya untuk memberikan aksi terbaik sepanjang bergandingan di Kelantan sejak musim 2010 hingga 2013.

Pada ketika itulah Kelantan menjadi raja bola sepak negara – dua kali juara Liga Super (2011, 2012), dua kali julang Piala FA (2012, 2013) dan Piala Malaysia (2010, 2012). Mereka juga berpeluang beraksi di pentas Piala AFC pada musim 2012 dan 2013.

“Shakir Shaari ini memudahkan kerja saya dalam padang,” ungkap bekas kapten Kelantan itu yang telah menghabiskan hampir 12 tahun karier bola sepaknya bersama The Red Warrior iaitu pada musim 2006 dan kemudian pada 2008 sehingga 2018.

“Shakir di belakang saya ini adalah enjin pasukan. Dia buat kerja di bawah, dan saya pula untuk attack sahaja. Kalau saya sendiri rasa ada tenaga, saya akan turun support Shakir di bawah,” jelasnya lagi mengenai peranan mereka di dalam padang.

Badhri Radzi Kelantan
Badhri Radzi. FOTO: Perak Today

“Hendak cari [pemain] macam Shakir ini payah. Contoh paling dekat adalah macam Hariss Harun di JDT. Perlu ada juga pemain seperti ini dalam pasukan untuk gallo (dirty work), collect bola, ambil 2nd ball, pass kepada saya dan saya uruskan selepas itu.

“Sebab itu saya sendiri mampu untuk menjaringkan gol, membuat bantuan gol dan saya sendiri mempunyai masa yang banyak untuk fikir untuk buat through-pass pada masa yang tepat,” tambah Badhri Radzi lagi mengenai gandingan mereka berdua.

Selain itu, pemain tengah berusia 37 tahun itu turut berkata yang gandingannya bersama Shakir Shaari adalah mudah. Mereka buat kerja masing-masing iaitu beliau akan merampas bola untuk diserahkan kepadanya untuk membuat serangan balas.

Selepas penghijrahan Shakir Shaari ke JDT pada 2014, Badhri Radzi berkata yang Kelantan dan dirinya bergelut di jentera tengah dan tidak dinafikan sehingga kini, tiada siapa mampu mengambil peranan sebagaimana yang dijelmakan oleh pemain itu.

“Saya tanya, siapa boleh ganti pemain posisi Shakir dalam pasukan Kelantan sampai hari ni? Tiada. Memang tiada,” ujarnya yang kini bermain bersama Kelantan United.

Sementara itu, ketika Badhri Radzi masih memerah keringat di tengah padang, Shakir Shaari pula ketika ini telah pun bersara dan berkhidmat sebagai jurulatih di JDT.

KREDIT FEATURED IMAGE: PERAK TODAY

Baca lagi artikel lain mengenai Badhri Radzi dan Kelantan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram