Sumareh Jadi Penanda Aras Program Naturalisasi Di Malaysia

Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh mendapat markah penuh 10/10 dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai penglibatan dan komitmennya sepanjang bersama skuad Harimau Malaysia sejak Oktober 2018 sehingga kini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataannya kepada Berita Harian menyatakan, pihaknya menilai pemain kelahiran Gambia itu berdasarkan beberapa faktor seperti semangat dan sikap sama ada di dalam atau di luar padang.

Menurut Stuart, sumbangan Sumareh bukan hanya dinilai dari prestasi di atas padang semata-mata, tetapi juga mengenai sikapnya di bilik persalinan, hubungan bersama rakan sepasukan. Tambahnya, pemain berusia 25 tahun itu bersikap merendah diri dan juga tidak berlagak bintang.

“Dia macam budak kita (pemain tempatan) juga. Dia pun tinggal di Malaysia sudah berbelas tahun dan negara ini macam rumah dia. Jadi kita boleh lihat bila kalah dia menangis (sedih), menang dia menangis (gembira) dan bila jaringkan gol dia teruja.

“Ketika Piala AFF 2018 dia banyak meletakkan tekanan dalam diri sendiri kerana baru dapat status naturalisasi dan dia nak tunjuk yang dia berhak berada dalam pasukan kebangsaan. Tapi sekarang prestasi dia sudah semakin baik,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Oleh yang demikian, badan induk bola sepak itu mahu menjadikan Sumareh sebagai ‘penanda aras’ kepada pemain naturalisasi seterusnya yang akan membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Perkembangan terbaru menyaksian dua pemain ketika ini sedang menunggu lampu hijau dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi pemain naturalisasi selepas cukup syarat beraksi selama lima tahun berturut-turut di Malaysia iaitu Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Maka Stuart menegaskan, beliau mahu semua pemain naturalisasi mempunyai semangat juang dan mengikut sistem skuad kebangsaan yang ketika ini berada di tahap terbaik.

“Kita ada Jawatankuasa Program Naturalisasi yang membuat penilaian dari setiap sudut dalam membuat pemilihan terhadap pemain naturalisasi.

“Kita rasa Liridon serta De Paula mempunyai semangat dan ikhlas beraksi bersama Harimau Malaya, bukan semata-mata nak pasport,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram