Sumareh: Ayuh, Kita Sasarkan Layak Ke Piala Asia 2023 Secara Merit!

Sumareh Malaysia Indoensia

Pemain sayap menyerang Pahang, Mohamadou Sumareh mahu skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 secara merit dan kian teruja untuk memasuki tahun baharu bersama Harimau Malaya.

Menurutnya yang bercakap kepada The Star, tahun 2019 adalah tahun yang cemerlang buat skuad kebangsaan apabila menang sepuluh perlawanan daripada 14 perlawanan yang dilalui. Malaysia juga melalui saingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dengan baik.

Dalam Kumpulan G, Malaysia kini berada di kedudukan ke-2, dua mata di belakang Vietnam dan satu mata di depan Thailand. Telah mengumpul sembilan mata daripada 15 mata maksimum, skuad negara berbaki tiga aksi menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

Sumareh beraksi dalam sembilan perlawanan dan meledak empat gol sepanjang tahun lalu malah pastinya memasang impian mahu memburu lebih aksi dan juga lebih jaringan pada tahun 2020.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian skuad kebangsaan tahun ini. Kami menamatkan tahun ini berada di kedudukan ke-2, Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Ia satu pencapaian yang hebat. Saya rasa kita ada harapan,” ujarnya.

“Jika kita teruskan prestasi ini, kita boleh layak ke Piala Asia. Kali terakhir kita layak atas faktor tuan rumah, jadi ayuh kita sasarkan untuk layak secara merit,” tekad pemain berusia 25 tahun itu.

“Melihatkan permainan saya, saya perlu perbaiki penyudah, kerana jika saya dapat menjaringkan lebih gol, ia akan meningkatkan tahap keyakinan saya. Saya juga perlu meningkatkan kebolehan saya membuat keputusan bagi menjadi pemain lebih baik.

“Ia tidak pernah cukup. Saya perlu perbaiki perkara yang boleh meningkatkan permainan saya,” tambahnya lagi sambil berkata yang trofi pemain tengah terbaik bukan bukti dirinya hebat.

Bercakap pula mengenai musim baharu di Liga Super bersama Pahang, pemain yang akan memasuki musim keempat bersama Tok Gajah itu mahu menghadiahkan penyokong sebuah trofi.

“Secara keseluruhannya, ia adalah musim yang baik tetapi ia boleh menjadi lebih baik jika kita menjulang trofi. Musim lalu, kita terjejas dengan beberapa penggantungan dan juga kecederaan pemain.

“Pada musim 2020, saya mahu berikan apa yang mereka idamkan, sebuah trofi kejuaraan,” ujarnya yang pernah beraksi bersama PDRM dan Perlis sejak beraksi di Liga Malaysia bermula 2013.

Kredit Foto: Arena HijauKuning / Khairil A Jaafar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram