Sulaiman Hussin: Jurulatih Perlu Berhenti Suruh Pelajar IPT Tangguh Pelajaran

Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin mengharapkan rakan sejawatannya dari pasukan-pasukan Liga Malaysia supaya berhenti menyuruh pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang mahu bermain untuk menangguhkan pengajian mereka.

Bercakap kepada Semuanya BOLA, Sulaiman Hussin yang berjaya mengemudi UKM FC sehingga ke final Challenge Cup 2018 turut memberitahu itu juga syarat yang dikenakan oleh beliau jika ada mana-mana pasukan Liga Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain-pemainnya untuk saingan musim depan.

“Saya tak halang kalau ada mana-mana pasukan Liga Super atau Liga Premier yang nak ambil pemain saya. Tapi satu sahaja syarat saya – jangan suruh mereka tangguh pelajaran mereka. Pelajaran mereka mesti nombor satu,” tegas ketua jurulatih ‘The Varsity Boys’ ini.

Bekas pemain Kuala Lumpur era 90-an ini mendedahkan beliau sudah mendapat beberapa tawaran daripada dua pasukan Liga Super berkenaan dengan 2 pemain tonggak beliau, Asnan Ahmad dan Faiz Hanif.

Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin menyeru rakan jurulatihnya di Liga Malaysia untuk tidak mengabaikan komitmen pelajaran yang perlu ditempuhi oleh pemain-pemain. (Foto: Adam Ghazali/Sportflex Malaysia)

Asnan Ahmad merupakan kapten UKM FC yang bertanggungjawab menewaskan JDT II dalam perlawanan separuh akhir Challenge Cup 2018 sebelum tewas kepada Terengganu FC II dalam perlawanan akhir. Faiz Hanif pula pernah tersenarai sebagai calon Pemain Terbaik Liga Premier PFAM-asiana.my untuk bulan Mei 2018.

FAIZ HANIF ADNAN (UKM FC)

Undi Faiz Hanif Adnan sebagai Pemain Terbaik Liga Premier PFAM-asiana.my Mei 2018 di…

Posted by PFA Malaysia on Tuesday, June 5, 2018

Menurut Sulaiman, salah satu resepi kejayaan pasukannya sehingga berjaya layak ke perlawanan akhir Challenge Cup 2018 dan menduduki tangga ke-7 100PLUS Liga Premier 2018 di sebalik bajet yang kecil adalah ‘otak’ pemain-pemainnya.

“Pemain yang mempunyai pelajaran ini bermain dengan otak. Mereka terbuka mendengar input-input yang diberikan oleh jurulatih. Disiplin yang telah diterapkan dalam dunia akademik mereka juga membuatkan mereka tiada masalah untuk bersikap profesional di luar dan dalam padang,” katanya lagi.

Sulaiman Hussin memahami kekangan masa dan komitmen pelajar-pelajar IPT untuk bermain dalam Liga Malaysia dan belajar mungkin sempit. Tetapi ia tidak mustahil untuk dilakukan. “Jurulatih kenalah bertoleransi dengan pemain yang belajar. Mereka kena rapat dengan pemain-pemain untuk memastikan prestasi mereka di atas padang dan dalam kelas tidak terjejas,” jelas beliau dengan penuh semangat.

Beliau turut menambah: “Dalam skuad saya semasa menentang Terengganu FC II di final Challenge Cup 2018, saya mempunyai 3 pemain yang sedang mengambil ijazah sarjana muda dan 5 pemain yang sedang mengambil ijazah sarjana (masters). Jika saya boleh buat, orang lain pun sebenarnya boleh [buat].”

Pemain UKM FC meraikan jaringan ketika menentang Terengganu FC II dalam perlawanan akhir Challenge Cup 2018 di Stadium Shah Alam. (Foto: UKM FC)

Ketika ini, persepsi dalam bola sepak Malaysia mengatakan ‘masuk universiti akan membunuh karier bola sepak’. Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama FAM sedang cuba mengubah persepsi ini dengan menganjurkan Liga IPT sejak 2010. Kehadiran UiTM FC dan UKM FC dalam saingan 100PLUS Liga Premier pula diharapkan bakal membuka mata peminat bola sepak Malaysia bahawa pendidikan dan bola sepak boleh berjalan seiringan.

Sulaiman Hussin ditemui ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir Divisyen 2 Liga IPT 2018 antara HELP University dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Dalam perlawanan tersebut, UMK menang menerusi penentuan penalti sebelum muncul juara Divisyen 2 menentang Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam perlawanan akhir keesokan harinya.

Dengan layaknya kedua-dua pasukan ini ke final Divisyen 2 Liga IPT 2018, UMK dan UUM akan dipromosi ke saingan Divisyen 1 pada tahun hadapan.

Sementara itu saingan Divisyen 1 Liga IPT 2018 akan diteruskan pada hari Sabtu ini dan sudah memasuki minggu ke-7. Antara aksi menarik yang bakal disajikan adalah di Stadium UiTM Perlis antara tuan rumah, UiTM Perlis dengan UniSZA.

Ketika ini, UiTM Shah Alam masih gah di persada liga, berkelebihan 3 mata dan satu perlawanan di hadapan UPSI.

Kedudukan Pasukan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 1 selepas 7 Minggu…

Posted by Liga Bola Sepak IPT on Sunday, November 4, 2018

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN