Sulaiman Husin Mahu Cabaran Lebih Besar

Dalam kalangan jurulatih bola sepak di negara kita, Sulaiman Husin mungkin tidak begitu dikenali oleh peminat bola sepak negara. Namun begitu kejayaan membawa pasukan kerdil UKM FC mara ke pentas akhir Piala Cabaran buat dua tahun berturut-turut ternyata satu kejayaan buat bekas pemain pasukan Kuala Lumpur era 90-an itu.

Pancapaian itu jelas membuktikan kewibawaan beliau yang dikenali sebegai seorang jurulatih yang amat dihormati dan disegani oleh semua pemain serta pegawai pasukannya. Sulaiman Husin juga merupakan jurulatih yang amat menitik beratkan soal pelajaran pemain bola sepak.

Ketika dihubungi oleh pihak SemuanyaBOLA untuk bertanya mengenai hala tuju beliau pada musim hadapan, jurulatih yang baru sahaja selesai menjalani Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 modul keempat pada bulan lepas menjelaskan beliau kini sudah bersedia untuk berhadapan cabaran yang lebih besar dalam kerjayanya.

“Saya sebenarnya daripada dahulu memang berniat untuk majukan bola sepak Iinstitusi Pengajian Tinggi (IPT). Sejak mula saya mengambil alih pasukan UKM FC, niat utama saya ialah mahu memecahkan dominasi pasukan UiTM kerana daripada dahulu hanya mereka sahaja yang menguasai arena bola sepak IPT ini.

“Jadi saya ada matlamat untuk mengangkat UKM ke satu tahap menjadi pasukan yg lebih baik dan lebih dikenali dalam arena bola sepak negara dan alhamdulillah hari ni matlamat itu boleh dikatakan sudah tercapai.

“Jadi sekarang saya perlu melihat kepada perkembangan diri saya pula. Maksudnya pada masa hadapan ke mana pula hala tuju diri saya. Kalau boleh saya mahu cuba mencari peluang baharu yang lebih mencabar.” kata Sulaiman lagi.

Namun begitu menurut Sulaiman, pihak pengurusan UKM FC sudah pun menawarkan kontrak untuk beliau kekal bersama The Varsity Boys pada musim hadapan. Akan tetapi beliau telah diingatkan bahawa untuk musim 2020 pasukan itu akan menerima dana yang lebih kecil berbanding musim ini.

“Dari segi kewangan ternyata kami tidak mampu bersaing dgn pasukan-pasukan besar yang lain. Kami perlu bergerak dengan dana yang terhad. Kami dicabar sejauh mana mampu bertahan tanpa mengharapkan bantuan kewangan dari pihak universiti.

“Daripada pihak saya, saya tidak risau kerana pemain-pemain yang ada sekarang ini, saya yakin mereka boleh menyahut cabaran yang dilontarkan, tetapi mereka sewajarnya diberikan penghargaan di atas apa yang telah dicapai.

“Jika difikirkan memang saya mahu kekal, tetapi dalam masa sama saya perlu fikirkan masa hadapan diri sendiri juga. Sudah tiba masanya untuk mencari cabaran bersama pasukan-pasukan yang lebih baik.

“Namun ia tetap bergantung sejauh mana saya bersedia untuk berada di pasaran yang lebih besar dan bersaing dgn jurulatih-jurulatih yg lebih berpengalaman.” tambah beliau lagi.

Beliau turut ditanya mengenai kemunculan jurulatih-jurulatih yang lebih muda dalam kancah bola sepak tempatan ketika ini yang dilihat agak menyerlah seperti Nidzam Jamil, Nafuzi Zain, Yusri Che Lah dan Tengku Hazman Raja Hassan.

Ujar Sulaiman, beliau tidak menafikan sumbangan jurulatih-jurulatih lama yang telah banyak mencurahkan pengalaman yang dimiliki untuk memajukan bola sepak. Tetapi sudah sampai masanya juga untuk jurulatih-jurulatih muda ini diberikan peluang kerana menurutnya permainan bola sepak itu sendiri sudah berubah.

“Jika tidak menjadi jurulatih di pasukan-pasukan besar sekalipun, mungkin kami jurulatih yang lebih muda ini boleh menjadi penolong jurulatih kepada jurulatih-jurulatih yang lebih berpengalaman ini kerana kami sudah bersedia untuk menggalas cabaran yang lebih besar.

“Tak salah untuk kami menimba pengalaman daripada mereka yg sudah terkenal dalam Liga Malaysia kerana kami boleh belajar banyak lagi ilmu-ilmu baru. Apabila kami sudah betul-betul bersedia, kami boleh kekal lama di dalam pasaran.

“Saya sendiri mengakui jurulatih muda tak perlu tergesa-gesa sekalipun mereka rasa sudah cukup bersedia. Saya tidak mahu nampak seolah-olah kami mahu ‘mencantas’ jurulatih yg lebih senior.

“Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan setiap persatuan bola sepak kerana mereka akan balik kepada sejauh mana pencapaian yang telah diraih. Tetapi jika mereka tidak cuba untuk mengambil kami, bila kami akan mendapat peluang itu?” Soal Sulaiman.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN