Sukan SEA: Hasrat Luqman Hakim Bergandingan Dengan Safawi Tidak Menjadi Kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Penyerang Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid sudah disahkan tidak akan menyertai skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara untuk kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina bermula hujung bulan ini.

Ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ternyata amat dirasai oleh penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang menanam impian untuk bergandingan dengan Safawi Rasid dalam satu pasukan.

Pemain berusia 17 tahun itu antara enam pemain skuad B-18 negara yang dipanggil ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk menyertai kem latihan skuad B-22 tahun sebagai persediaan untuk memilih 20 orang senarai akhir pemain.

Menurut Luqman, peluang untuk beraksi di pentas Sukan SEA merupakan impiannya sejak kecil. Malah beliau turut menyimpan hasrat untuk beraksi bersama Safawi Rasid dan seorang lagi pemain JDT, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

“Bermain untuk pasukan negara di Sukan SEA adalah apa yang saya impikan selama ini. Edisi 2017 di Kuala Lumpur, saya hanya menyaksikan sebagai seorang penonton dan sejak itu saya berazam untuk berada di dalam skuad untuk edisi 2019.

“Saya juga selalu impikan untuk beraksi bersama mereka berdua (Safawi dan Akhyar), jika diberikan peluang oleh jurulatih,” katanya ketika ditemui pemberita Bernama pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Junior Antarabangsa RSC-Datuk Chu Ah Nge, Edisi ke-15 di sini, hari ini.

Tambah Luqman lagi, beliau bertekad mahu membalas kepercayaan Kim Swee sekiranya terpilih dalam senarai akhir 20 orang pemain yang akan dibawa ke Manila pada 23 November ini.

“Ia satu tugas yang berat (jika terpilih) tetapi saya sedia memberikan segalanya jika terpilih. Soal tekanan itu saya tidak mahu terlalu memikirkan, kerana saya hanya mahu berikan yang terbaik di dalam latihan dan perlawanan,” katanya lagi.

Luqman Hakim telah mencuri perhatian peminat bola sepak negara dengan beberapa kejayaan peribadi. Permulaannya adalah ketika muncul penjaring terbanyak dalam beberapa kejohanan Asia peringkat remaja.

Kemudian beliau ditawarkan untuk menyertai sebuah kelab Belgium, KV Kortrijk dengan kontrak selama lima tahun sebelum diiktiraf sebagai antara 60 pemain bola sepak remaja terbaik dunia oleh media antarabangsa The Guardian.

Kini pemain kelahiran Kota Bharu itu berpeluang untuk mengembangkan kariernya dengan beraksi dalam kejohanan Sukan SEA dan sekaligus meningkatkan peluangnya untuk menembusi skuad senior negara dalam masa terdekat.